ARTIKEL

Gambar Hiasan : Freepik.com

Ubah sikap ketika memandu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BANYAK gambaran tentang kemalangan.

Ada mengalaminya sendiri bahkan ada yang melihat kemalangan ngeri di depan mata.

Atas sebab itu, kebimbangan masyarakat sangat jelas apabila menjelang tahun baharu, perayaan, serta musim tengkujuh.

Keadaan jalan licin dan kesesakan lalu lintas mungkin boleh menjadi punca kemalangan berlaku kerana semasa musim ini ramai yang balik kampung atau pergi bersiar-siar bersama-sama keluarga.

Tidak dinafikan kemalangan juga berlaku di luar tempoh berkenaan tetapi diperhatikan kes kemalangan berisiko berlaku pada waktu tersebut.

 Ada juga yang menempuh perjalanan jauh, dan memerlukan persediaan sempurna dari segi penyelenggaraan kenderaan dan pemandu itu sendiri.

Kes kemalangan jalan raya bukan hanya berlaku di Sarawak, malah berlaku di seluruh dunia.

Perkara ini sangat membimbangkan terutama pada musim tengkujuh ini.

Lebih memilukan, perjalanan gembira bertukar duka, dengan kemalangan ngeri sehingga ada meragut nyawa.

Ibu di kampung menanti penuh harapan, tetapi yang tiba hanya jasad anak.

Kemalangan jalan raya juga boleh berlaku disebabkan pemanduan melebihi had laju dan sikap pemandu yang suka melanggar isyarat lalu lintas. Adakah kemalangan ini kehendak semua orang?

Tepuk dada, tanya selera. Perkara ini memerlukan kesedaran tinggi khususnya di Sarawak kerana banyak jalan raya atau lebuh raya masih dalam pembinaan.

Jadi, kesemua pengguna perlu ingat perkara ini.

Memetik laporan berita nasional, kes kemalangan maut di Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak meningkat kepada 355 kes dalam tempoh enam bulan pertama 2023, berbanding 353 kes bagi tempoh sama pada 2022.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, memandu melebihi had laju, ketidakserasian dengan keadaan lebuh raya, kurang kefahaman fungsi pusingan P iaitu kemudahan untuk pengguna membuat pusingan patah balik secara selamat merupakan antara punca berlaku peningkatan kemalangan maut di LPB.

Katanya, faktor lain yang turut menyumbang kemalangan maut adalah perbuatan penduduk membuka penghadang jalan di lebuh raya empat lorong bagi membuat laluan pintas kerana tidak mahu menggunakan pusingan P yang disediakan setiap dua kilometer.

Kita tahu LPB merupakan lebuh raya pertama di Sarawak yang menjadi jalan penghubung antara daerah atau bahagian di negeri ini.

Ramai yang menggunakan jalan ini untuk pergi dan balik dari kawasan bandar ke kampung, kampung ke bandar.

Jadi keselamatan jalan raya semasa cuti hari ini (1 Januari) perlu dirancang dengan baik.

Banyak langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan, termasuk kempen kesedaran dan operasi memantau kemalangan. Paling penting ialah kerjasama daripada pengguna jalan raya.

Justeru, memetik laporan berita nasional, Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang untuk memasang kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di lokasi yang mempunyai kadar kemalangan tinggi.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah sebelum ini juga memaklumkan bahawa ia bagi mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca daripada ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya khususnya melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.

Beliau memberitahu, hal ini disokong dengan kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) terhadap tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju.

Isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera tersebut mencecah 99 peratus secara keseluruhannya dan seterusnya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan kamera AWAS.

Pada masa yang sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ibrahim Darus mendedahkan bahawa seramai 750 pegawai dan anggota polis dari pelbagai cawangan serta jabatan di seluruh Sarawak terlibat dalam Ops Selamat Sempena Perayaan Hari Krismas 2023.

Menurutnya, anggota terlibat memulakan operasi pada 22 hingga 28 Disember lalu bagi menentukan keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat di seluruh negeri.

Ops Selamat itu juga adalah kali ketiga diadakan Kontinjen Sarawak pada tahun 2023 selepas Ops Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

Ia juga bertujuan untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri Sarawak sepanjang tempoh perayaan dengan menguatkuasakan undang-undang lalu lintas.

Kita sudah melangkah ke tahun baharu hari ini, jadi ubahlah sikap semasa memandu.

Jangan memandu sembarangan hingga kita menyebabkan kemalangan.

Ingat, bukan hanya kita pengguna jalan raya.

LAIN-LAIN BERITA

Puasa pupuk kesabaran

KETIKA matahari terik di atas kepala sambil memancarkan sinarnya, ia membuatkan kita rasa tidak selesa dan letih akibat panas yang tidak terhingga.  Apatah lagi menjelang

Budak tinggi gula dalam darah

MASIH ramai yang kurang mengetahui kanak-kanak dan remaja juga boleh mengalami masalah kandungan gula tinggi dalam darah atau lebih dikenali sebagai diabetes. Lebih-lebih lagi apabila

Sarawak tumpuan biologi dunia

SARAWAK kaya dengan kepelbagaian biologi hutan yang unik sehingga dikenali sebagai salah satu titik utama biologi dunia. Ia juga penyumbang tertinggi kepada liputan hutan di

Tempat paling mahal didiami

KOS sara hidup berbeza daripada satu negara ke negara lain. Beberapa negara, kos sara hidupnya jauh lebih mahal daripada yang lain. Di bahagian tempat tinggal

Demi bekalan air bersih

PELBAGAI usaha kini sedang giat dilaksanakan untuk memastikan seluruh rakyat menikmati bekalan air bersih sekali gus menampung keperluan yang kian bertambah selain menyedari kepentingannya dalam konteks

Sistem cukai di seluruh dunia

SISTEM cukai berbeza-beza secara meluas di seluruh dunia, mencerminkan kepelbagaian landskap ekonomi, sosial dan politik negara. Walaupun terdapat banyak variasi, sistem cukai biasanya mempunyai dua

BERITA TERBARU