KUCHING: Projek penaiktarafan serta penukaran stor sedia ada kepada tandas awam mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di Pasar Petanak yang menelan kos RM80,800 kini sedia untuk kegunaan orang ramai.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata, projek tersebut mengambil masa hampir empat bulan bagi memastikan kemudahan berkenaan benar-benar selamat dan kondusif untuk digunakan.
“Dibina pada tahun 1988, Pasar Petanak menjadi destinasi harian penting bagi peniaga, penduduk setempat dan pengunjung.
“Justeru, amat penting bagi kemudahan di pasar yang telah lama beroperasi ini terus diselenggara dan dinaik taraf supaya kekal berfungsi, relevan serta responsif terhadap keperluan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan projek naik taraf tandas awam mesra OKU dan warga emas di Pasar Petanak, di sini, hari ini.
Menurut beliau, Sarawak kini menuju ke arah wilayah dengan populasi yang semakin berusia yang mana pasar merupakan ruang komuniti yang paling kerap dikunjungi oleh golongan warga emas.
Perubahan demografi tersebut menuntut penekanan lebih besar terhadap aspek kebolehcapaian, keselesaan pengguna dan keselamatan, terutamanya melibatkan kemudahan asas seperti tandas awam.
“Sebelum kerja naik taraf dilaksanakan, tandas awam di Pasar Petanak terletak di tingkat satu yang menyukarkan pengguna kerusi roda, warga emas dan individu yang mempunyai kekangan pergerakan.
“Menyedari kekangan ini, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menukarkan sebuah stor di aras bawah bagi menyediakan kemudahan yang lebih mudah diakses dan selamat untuk digunakan dengan selesa oleh semua pihak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, inisiatif naik taraf tersebut dibiayai di bawah peruntukan BP1 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memenuhi keperluan pengguna.
“Pasar bukan sekadar tempat urusan jual beli, malah merupakan ruang komuniti yang penting. Penambahbaikan perlu mengambil kira keperluan warga emas, OKU, peniaga serta orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MBKS untuk meningkatkan kemudahan awam sambil memastikan aspek kebolehcapaian dan keselamatan untuk semua lapisan masyarakat terus terpelihara.
“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan MBKS dalam memperkukuh kualiti serta keterangkuman kemudahan awam di Pasar Petanak,” tambahnya.



