BETONG: Pasukan UGFT dinobatkan sebagai juara Kejohanan Futsal Terbuka Wanita Sarawak 2025 selepas menumpaskan AFA FC selaku naib juara dengan kemenangan 3-0 pada aksi final di Dewan Mini Stadium Betong.
Kejayaan itu membolehkan UGFT membawa pulang wang tunai RM1,500 bersama pingat dan sijil, manakala AFA FC menerima wang tunai RM1,000 bersama pingat dan sijil.
Dua lagi pasukan, Polycats B dan Ladies, yang tewas di peringkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500, pingat dan sijil.
Penyerang UGFT, Nur Azizah Isa, dipilih sebagai Pemain Terbaik, manakala Carolyne Thunderbirds menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik. Kedua-duanya menerima piala.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong, Cik Nurulzamzam Haji Shafi’ie. Turut hadir, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Saiful Hanizam Suhaini, serta Pengerusi Penganjur, Florina Sandau Anak Josua.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Beliawanis Betong dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Betong serta BDFA, menghimpunkan lapan pasukan dari pelbagai bahagian dan kawasan sekitar Betong.






