Trending

Uggah kecewa doktor tidak patuhi SOP rabies

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas kecewa dengan kematian seorang mangsa baharu rabies yang dikaitkan dengan kecuaian doktor mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Justeru, beliau menggesa KKM untuk menyiasat kes berkenaan dan memastikan bahawa SOP yang ditetapkan dipatuhi oleh semua pengamal perubatan.

SOP itu menetapkan semua pengamal perubatan supaya bertindak balas terhadap sebarang kes melibatkan gigitan anjing dengan segera menghantar atau merujuk pesakit gigitan anjing ke Klinik Rabies di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Saya sangat kecewa kerana dilaporkan doktor yang merawat mangsa gagal merujuknya ke Klinik Rabies dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata ini menjadi kes kedua di Sarawak, di mana doktor gagal merujukkan pesakit gigitan anjing mereka ke Klinik Rabies.

“Saya mengucapkan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

“Kes kecuaian seperti ini sangat serius dan tidak sepatutnya berlaku. Adalah sangat penting bagi doktor untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM,” katanya.

KKM dalam kenyataan hari ini, mengesahkan seorang mangsa terbaru rabies, wanita berusia 61 tahun meninggal dunia semasa dalam rawatan di wad HUS pada Rabu lalu, jam 10.47 malam.

Warga emas yang berasal dari Pending itu disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 12 Jun lalu, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia.

“Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh seekor anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanannya pada 29 April lalu.

“Ia berlaku semasa mangsa cuba menghalau anjing tersebut yang sentiasa menyalak kepadanya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mangsa juga dikatakan sudah mencuci luka itu selama lima minit dan terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti berhampiran rumahnya dan diberi temu janji seminggu kemudian.

Bagaimanapun, dia tidak mendapatkan rawatan susulan seperti yang ditetapkan kerana berpendapat bahawa luka pada jarinya sudah sembuh.

Pada 6 Jun, mangsa mula mengalami sakit dan rasa tidak selesa di bahagian lengan tangan kanannya.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun dan dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit serta diberikan Rabies immunoglobulin (RIG).

Pada keesokan harinya, dia mengadu loya, pening, susah menelan, sakit kepala, kesukaran untuk menelan air (hydrophobia), tidak selesa di bahagian lengan tangan kanan dan lemah di bahagian bawah badan.

Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 12 Jun 2019 adalah 19 kes termasuk 18 kematian.

Daripada 19 kes tersebut, tiga kes dilaporkan pada tahun 2019.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru