BINTULU: Acara larian jambatan ikonik berpotensi dijadikan acara tahunan sempena sambutan Hari Sarawak dengan diperluas ke semua 17 jambatan utama di seluruh negeri ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia susulan kejayaan penganjuran Larian Jambatan Jepak yang mendapat penyertaan dan sambutan luar biasa, jauh melebihi sasaran awal 1,000 peserta.

“Beberapa hari lalu kita menganjurkan Larian Jambatan Jepak 2025 yang disertai sekitar 2,600 peserta.
“Permohonan terpaksa ditutup awal oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Ini membuktikan betapa popularnya jambatan ikonik ini.
“Mungkin pada masa hadapan kita boleh menganjurkan acara yang sama di semua 17 jambatan di seluruh negeri, semasa sambutan Hari Sarawak,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian pada Majlis Perasmian Jambatan Tun Taib Mahmud yang disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam tadi.
Menurut Uggah, acara seumpamanya bukan sahaja dapat memupuk semangat kebersamaan rakyat, malah menjadi simbol kebanggaan kemajuan dan infrastruktur negeri yang dibina oleh Kerajaan Sarawak.
Jambatan Tun Taib Mahmud yang dirasmikan malam tadi siap sepenuhnya pada 22 Mac lalu, dengan peruntukan bernilai RM466.7 juta, sepanjang 1.283 kilometer (km) dengan jalan berkembar sejauh 3.5km.
Uggah turut memaklumkan bahawa empat jambatan utama berjaya disiapkan dan dibuka kepada orang awam sepanjang tahun ini termasuk Jambatan Batang Rajang di Sarikei, Jambatan Muara Lassa di Mukah dan Jambatan Batang Saribas 1 di Pusa.
“Manakala enam lagi jambatan sedang dalam pembinaan dan dijadual siap pada 2026, termasuk Jambatan Batang Lupar 1, jambatan terpanjang di Sarawak dengan panjang 4.8km.
“Kita berharap semua jambatan ini dapat disiapkan selewat-lewatnya Mac tahun depan, dan jika boleh, lebih awal pada Disember ini,” ujarnya.
Dengan siapnya kesemua jambatan ini, Uggah berkata rakyat Sarawak bakal menikmati perjalanan darat yang lebih lancar dan menyeluruh, tanpa perlu menaiki feri dari Kuching ke Miri.
“Sementara itu, projek Jambatan Marina di Miri dijangka menjadi jambatan ke-17, dengan kontraktor memberi bayangan kemungkinan siap dalam tempoh tiga tahun, meskipun tempoh kontrak asal ialah empat tahun,” ujarnya.
Dalam pada itu ujarnya, JKR Sarawak kini diamanahkan untuk melaksanakan projek infrastruktur bernilai RM42.6 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, termasuk pembinaan jambatan-jambatan baharu di seluruh negeri.
“Difahamkan, Premier juga telah meluluskan beberapa jambatan tambahan termasuk di Sibu dan Sebuyau, menjadikan jumlah keseluruhan menjangkau 20 jambatan baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Dengan keterhubungan yang menyeluruh ini, rakyat dari seluruh pelosok negeri akan lebih mudah bergerak, sekali gus meningkatkan sosioekonomi masing-masing,” tegasnya.
Beliau turut menyifatkan Premier sebagai ‘Bapa Transformasi Infrastruktur Sarawak’ kerana keberanian dan kesungguhan beliau dalam mendorong pembangunan menyeluruh di seluruh negeri.
“Kini seluruh Malaysia, malah dunia, tahu betapa pesatnya pembangunan Sarawak.
“Mungkin ada yang cemburu, tetapi kita akan pertahankan dan terus membangun di bawah kepimpinan Premier.
Agik Idup, Agik Ngelaban,” katanya penuh semangat.






