KUCHING: Terma rujukan bagi Pelan Induk Pelabuhan Sarawak sedang dimuktamadkan dengan kajian berkenaan disasarkan siap pada tahun 2027.
Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelan berkenaan bertujuan meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk utama ke Borneo dan hab logistik serantau yang berdaya saing.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, Kerajaan Sarawak sedang melaksanakan penyusunan semula tadbir urus pelabuhan secara menyeluruh.
“Kita berada pada landasan untuk mengoperasikan Lembaga Pelabuhan Sarawak menjelang akhir suku kedua tahun 2026.
“Lembaga Pelabuhan Sarawak akan menjadi badan pengawalselia tunggal bagi semua pelabuhan negeri menggantikan pihak berkuasa individu sedia ada iaitu Kuching, Rajang dan Miri, serta Bintulu apabila ia diserahkan secara rasmi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak,” katanya.
Ujarnya, penyatuan ini bersama pengkorporatan entiti pelabuhan sedia ada kepada syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak akan memperkemaskan proses penggubalan dasar peraturan serta menyeragamkan usaha pembangunan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Dalam masa yang sama katanya, Kerajaan Sarawak terus melaksanakan naik taraf strategik di pelabuhan untuk memperkukuhkan daya saing kemudahan sedia ada sementara menunggu pelaksanaan penuh pelan jangka panjang.
“Di Pelabuhan Kuching, kecekapan operasi dipertingkat melalui penambahan kapasiti kawasan simpanan termasuk pembinaan kawasan simpanan kenderaan baharu dengan tambahan kapasiti dirancang pada 2026.
“Sambungan dermaga sepanjang 250 meter bersama kawasan simpanannya dijadualkan siap pada 2027,” ujarnya.
Menjelas mengenai inisiatif pendigitalan, Uggah berkata usaha itu turut diperkenalkan seperti Nota Konvoi Elektronik yang mengurangkan masa penghantaran kontena di pintu masuk.
“Malaysia Maritime Single Window kini beroperasi sepenuhnya dan telah mempercepatkan proses pelepasan kapal.
“Di Miri, pembinaan benteng latihan dan kerja berkaitan di Kuala Baram menunjukkan kemajuan cemerlang dan dijangka siap tiga bulan lebih awal daripada jadual pada akhir tahun depan sekali gus membolehkan pemindahan aktiviti pengendalian kargo ke Terminal Kuala Baram dari Sungai Miri.
“Pada masa sama kita sedang berusaha menubuhkan zon bebas di Kuala Baram bagi menyelaras kargo dan membangunkan kemudahan minyak dan gas yang baharu.
“Pelabuhan kita menunjukkan ketahanan terus menyesuaikan diri dan memodenkan operasi untuk membina platform yang lebih cekap dan mampan bagi ekonomi Sarawak,” jelasnya.



