KUCHING: Anak sulung ugut hendak cederakan ibunya gara-gara enggan ditegur ketika dia berbuat bising terima padah, apabila dijatuhkan hukuman denda RM3,500 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Tertuduh, 22, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan ugutan jenayah hendak menumbuk ibunya berusia 49 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Sejingkat, sekitar 10 pagi, 13 September lepas.
Menurut fakta kes, hasil siasatan mendedahkan tertuduh mengeluarkan kata-kata hendak menumbuk ibunya kerana enggan menerima teguran.
Ibunya menegur tertuduh supaya tidak berbuat bising dan didengar oleh jiran.
Sebelum kejadian, tertuduh dalam keadaan marah dan berbuat bising di dalam bilik tidur.
Laporan polis dibuat oleh mangsa seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 14 September lalu.
Pendakwaan kes dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



