KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di pejabat rasmi beliau di Menara LCDA, di sini.
Delegasi UiTM Sarawak diketuai oleh Rektor, Prof Dr Firdaus Abdullah bersama Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Madya ChM Ts Dr Mohamad Isa Mohamadin, Penolong Rektor Kampus Samarahan 2, Prof Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir serta Koordinator Unit Komunikasi Korporat, Yaziz Kasim.
Dalam pertemuan itu, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai diberi taklimat ringkas mengenai program pengajian yang ditawarkan di UiTM Sarawak.
UiTM turut memaklumkan pelaksanaan inisiatif Dapur HEP dan Food Bank bagi membantu pelajar, terutamanya daripada keluarga B40, mendapatkan bantuan makanan sepanjang tempoh pengajian sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup.

Selain itu, tujuh persidangan utama yang akan dianjurkan UiTM Sarawak hingga hujung tahun ini turut dikongsikan, termasuk penganjuran Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) Ke-16 yang bakal diadakan di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Kalimantan, Indonesia, pada 9 hingga 11 September depan.
Dalam kesempatan itu, Prof Dr Firdaus turut menyampaikan undangan kepada Abdul Rahman untuk menyampaikan ucaptama pada hari pertama konferensi KAIB berlangsung.
Beberapa cadangan kerjasama lain turut dibincangkan, termasuk penganjuran program berteraskan keusahawanan bagi memperkasakan sosioekonomi masyarakat di kawasan DUN Pantai Damai.
Menurut Prof Dr Firdaus, UiTM Sarawak komited untuk menyumbang kepakaran dalam bentuk penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu demi pembangunan komuniti melalui kerjasama berterusan bersama kementerian yang diterajui Abdul Rahman.
“Sebagai tanda komitmen, beberapa kertas cadangan telah diserahkan untuk perhatian dan pertimbangan beliau,” katanya.
Jalinan strategik itu dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama masa depan dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan masyarakat setempat.



