KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak terus memperkukuh komitmennya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menekankan kecemerlangan akademik dan menitikberatkan pembangunan sahsiah pelajar selaras dengan nilai Islam.
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr Firdaus Abdullah berkata, melalui pendekatan holistik dan inklusif, UiTM Sarawak meletakkan asas pendidikan yang menyeluruh.

“Kita bukan sekadar melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, tetapi juga insan yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
“Matlamat institusi itu adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi memiliki watak Mukmin sejati, seperti yang dituntut dalam al-Quran,” katanya semasa berucap dalam Majlis Aidilfitri Perdana 2025 UiTM Cawangan Sarawak yang berlangsung meriah di kampus Kota Samarahan pada malam Rabu.
Menjelas lanjut beliau memberitahu, institusi berkenaan terus memperkukuh peranan sebagai pusat pendidikan yang prihatin dan progresif dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif—menyeimbangkan keperluan akademik dan kebajikan pelajar.
“Antara inisiatif yang diketengahkan termasuklah Program Plus Tahfiz, yang memberi peluang kepada pelajar lepasan tahfiz untuk menyambung pengajian dalam bidang profesional.
“Setakat ini, seramai 29 pelajar mengikuti program tersebut, dengan sembilan daripadanya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran,” ujarnya.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bersama-sama warga universiti.



