ARTIKEL

BERUCAP... Dr Firdaus berucap dalam Program Gotong-Royong dan Agihan Bubur Lambuk UiTM Kampus Mukah, hari ini.

UiTM Mukah agih 1,200 pek bubur lambuk

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sebanyak 1,200 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai dalam Program Bubur Lambuk dan Iftar Jamaie anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Mukah, di sini, hari ini.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Dr Firdaus Abdullah berkata, penganjuran program itu bukan sahaja mengimarahkan bulan Ramadan malah menjadi platform memperkukuh interaksi antara warga universiti dengan masyarakat sekitar.

“Sepanjang Ramadan ini, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk program tadarus Al-Quran melibatkan penyertaan dalam kalangan staf.

“Melalui program tersebut, para staf berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh 20 hari sekali gus mencerminkan komitmen tinggi warga kampus dalam menghidupkan amalan ibadah sepanjang bulan yang mulia itu,” katanya ketika berucap dalam program tersebut.

Beliau turut memuji komitmen warga UiTM Kampus Mukah yang aktif menjayakan pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sepanjang Ramadan.

Dr Firdaus menyempurnakan simbolik perasmian Program Agihan Bubur Lambuk kepada tetamu jemputan.

Ujarnya, penganjuran aktiviti tersebut juga wajar melibatkan komuniti setempat kerana kewujudan universiti bukan sahaja sebagai institusi pendidikan, malah berperanan membantu masyarakat.

“Diharapkan agar bulan Ramadan kali ini membawa manfaat kepada semua pihak selain menjadi medan untuk memperkukuh nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat membantu antara satu sama lain,” tambahnya.

Dalam program tersebut, Dr Firdaus turut menziarahi beberapa warga UiTM Kampus Mukah yang uzur serta menyampaikan bubur lambuk kepada keluarga mereka.

Inisiatif ini membuktikan keprihatinan pihak UiTM Cawangan Sarawak terhadap kebajikan warganya agad mereka sentiasa mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya dalam melalui proses pemulihan kesihatan, sekali gus meringankan beban keluarga yang terlibat.

Wakil UiTM Kampus Mukah turut mengagihkan bubur lambuk kepada beberapa institusi terpilih seperti Politeknik Mukah (PMU), CENTEXS, Giat Mara, Sarawak Skills, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Mukah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Hospital Mukah serta madrasah sekitar.

Ini bertujuan memperat hubungan antara institusi pendidikan dan agensi-agensi penting di sekitar Mukah.

RAKAM KENANGAN… Dr Firdaus merakam kenangan bersama yang lain selepas program tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU