KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa bersedia untuk membantu komuniti menerusi kemahiran dan kepakaran warganya termasuk membuat rumah atau kek tenun bagi kegunaan penenun D’Lima Songket di Kampung Mang, dekat sini.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UiTM Cawangan Sarawak Profesor Madya Ts. Dr Mohammad Isa Mohamadin berkata, universiti tersebut sememangnya berhasrat untuk melaksanakan sesuatu yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti.
Katanya, projek rumah tenun berasaskan kayu itu juga dihasilkan oleh pelajar Sarjana Muda Sains Senibina semester ketiga yang juga merupakan sebahagian daripada tugasan kerja kursus mereka.
“Sudah pasti kita berasa bangga dan gembira dengan kebolehan para pelajar ini kerana dapat menghasilkan alat atau mesin yang memberi manfaat kepada komuniti penenun D’Lima Songket.
“Ini juga selaras dengan usaha UiTM yang mahukan apa sahaja dilaksanakan turut dapat dirasai oleh masyarakat di sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Mesin Tenun sempena Program Lanskap Tenun Samarahan di Pusat Menenun D’Lima Songket di Kampung Mang, dekat sini, hari ini.
Tambahnya, projek tersebut juga mendapat sokongan pihak industri iaitu UDA Land (Sarawak) Sdn. Bhd. yang menyumbang bekalan kayu untuk membuat rumah tenun berkenaan.
Untuk rekod, tiga rumah tenun yang diserahkan kepada kumpulan penenun songket Sarawak itu mula dihasilkan awal Oktober tahun lalu dengan kerjasama 20 pelajar dalam tempoh 10 minggu sahaja.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Uda Land (Sarawak) Sdn. Bhd. Mustafa Abdullah; Timbalan Naib Presiden 1 Uda Land (Sarawak) Sdn. Bhd. Muhd Zairil Izwan Zaini; Penghulu Kampung Mang Othman Rayan; Ketua Pusat Pengajian Kolej Pengajian Alam Bina Sr. Dr. Asmah Alia Mohamad Bohari; Koordinator Program Senibina Megat Faridrullah Zolkelfli; Ketua Kumpulan Penenun D’Lima Songket Kalsom Abu Bakar; serta wakil yang lain.

kepada komuniti setempat




