UiTM terima wakaf koleksi kitab agama

KOTA SAMARAHAN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak menerima wakaf koleksi kitab agama milik Almarhum Datuk Seri Anis Abot. UiTM dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 231 buah kitab milik almarhum diwakafkan kepada UiTM Sarawak untuk dijaga, dipelihara dan dijadikan salah satu koleksi istimewa mereka.

“Kebanyakan kitab almarhum berusia lebih 20 tahun yang ditulis dalam bahasa Arab ilmiah peringkat tinggi dan diperoleh dari Mesir dan Timur Tengah. “Selain itu, kitab tersebut meliputi tajuk fiqah, tauhid, tasawwuf, ajaran Imam Syafiee dan juga tafsir al-Quran,” katanya pada Rabu.

Jelasnya, almarhum mengumpul koleksi kitab agama itu semasa hayatnya sebelum mewasiatkannya kepada anak almarhum agar dipelihara dan dijaga untuk kegunaan agar dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

“Almarhum amat berharap kitab-kitab tersebut mampu membantu dan mendorong generasi yang akan datang untuk mempertingkatkan ilmu agama serta memperluaskan syiar Islam.

“Koleksi kitab ini sangat unik kerana ia jarang ditemui pada masa ini. “Ia sangat sesuai dijadikan asas pengajaran, pembelajaran serta bidang penyelidikan Islam agar ilmu peninggalan almarhum dapat dikekalkan kesinambungannya,” ujarnya lagi.

Penyerahan 231 buah kitab itu diserahkan sendiri oleh anak almarhum yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Dr. Ahmad Lutfi Anis kepada Rektor UiTM Datuk Dr Jamil Hamali dalam satu majlis ringkas di Galeri Islam Nusantara, Kampus Samarahan 2.

Turut hadir Penolong Rektor Kampus Samarahan 2 Prof Madya Dr Hasmah Mohidin, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Sarawak Norhayati Ismail, Timbalan Pendaftar Kanan Nor Amiruddin Mokhtaruddin.

Suara Sarawak