PADA peta, jajaran sepanjang lebih daripada 15 kilometer boleh dipendekkan menerusi satu garisan yang menembusi Bukit Pagon.
Namun, di lapangan, garisan itu menggambarkan pembinaan ruang kerja tertutup sepanjang kira-kira 2.24 kilometer di bawah lapisan batuan yang mencapai kedalaman maksimum 321 meter.
Sebelum terowong itu menjadi laluan kenderaan, pembinaannya terlebih dahulu menguji keupayaan tenaga kerja di sebalik projek.
Mereka terdiri daripada jurutera yang meneliti perubahan batuan, juruukur yang memastikan ketepatan arah pengorekan, penyelia keselamatan yang mengawal ruang kerja serta juruteknik yang kelak memastikan sistem pengudaraan, komunikasi dan bekalan kuasa terus berfungsi.
JALAN LEBIH PENDEK, RISIKO TIDAK HILANG
Pemilihan terowong bukan sekadar usaha mencari laluan terpendek.
Pembinaan jajaran jalan terbuka memerlukan kerja pemotongan dan perlindungan cerun, pembinaan sistem saliran dan jambatan serta penyenggaraan berterusan di kawasan berbukit yang menerima taburan hujan yang tinggi.
Terowong mengurangkan sebahagian daripada kerja di permukaan, tetapi risiko tersebut tidak lenyap.
Sebaliknya, pembinaan di bawah tanah membawa cabaran tersendiri, termasuk keadaan batuan retak, kemasukan air, keperluan sistem pengudaraan dan bekalan kuasa, risiko kebakaran serta keperluan memindahkan pengguna ketika kecemasan.
Pilihan terbaik tidak sematamata ditentukan berdasarkan kos pembinaan terendah, tetapi turut mengambil kira aspek keselamatan, kesan terhadap alam sekitar, masa perjalanan, risiko geoteknik serta kos operasi dan penyenggaraan sepanjang hayat terowong.
Bahan taklimat projek memaparkan angka kos yang berbeza antara versi Februari dengan versi Mac 2026 serta menunjukkan sebahagian daripada penilaian masih dalam proses semakan.
Justeru, angka tersebut tidak wajar dianggap muktamad.
Bagi industri, perkara yang lebih penting ialah nilai yang diperoleh daripada setiap perubahan reka bentuk serta pihak yang perlu menanggung risiko tersebut.
MANUSIA DI SEBALIK MESIN
Nilai sebenar projek seumpama ini yang pertama bukan hanya terletak pada struktur yang siap dibina, tetapi juga pada pengetahuan dan kepakaran yang kekal selepas pasukan pembinaan meninggalkan tapak.
Terowong Bukit Pagon berpotensi menjadi medan latihan bagi jurutera geoteknik, jurutera struktur, juruukur, penyelia keselamatan, operatorjentera, juruteknik mekanikal dan elektrikal serta pengurus aset tempatan.
Kerja di bawah tanah menuntut disiplin kerja yang berbeza daripada pembinaan jalan raya biasa.
Dalam ruang tertutup, kegagalan sistem pengudaraan, gangguan komunikasi atau rekahan yang tidak dikesan boleh mendatangkan risiko besar.
Oleh itu, latihan kecemasan, kawalan akses, pemantauan udara, pencahayaan dan penyelarasan pasukan perlu dilaksanakan seiring dengan kerja pengorekan.
Malaysia mempunyai garis panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan khusus bagi pembinaan terowong.
Kewujudan garis panduan khusus itu menunjukkan aspek keselamatan bukan sekadar satu perkara kecil dalam spesifi kasi, tetapi merupakan sebahagian daripada kaedah pembinaan itu sendiri.
Bagi Sarawak, manfaat pemindahan teknologi akan menjadi lebih besar apabila jurutera dan tenaga teknikal tempatan terlibat dalam semakan reka bentuk, pemetaan geologi, pemasangan sistem sokongan, pemeriksaan mutu, latihan kecemasan dan penyelesaian masalah, bukan sekadar bertindak sebagai tenaga sokongan.
TEROWONG MULA “HIDUP” SELEPAS DIBUKA
Apabila kedua-dua muka pengorekan akhirnya bertemu, kerja yang paling mencabar mungkin selesai.
Namun, tanggungjawab terhadap aset itu baru sahaja bermula.
Sebuah terowong jalan raya bukan sekadar struktur konkrit yang menembusi bukit, tetapi merupakan sistem pengoperasian yang memerlukan pencahayaan, pengudaraan, komunikasi, sistem kamera litar tertutup (CCTV), perlindungan kebakaran, bekalan kuasa dan kawalan kecemasan.
Reka bentuk awal turut mencadangkan ruang henti kecemasan sepanjang 40 meter pada jarak kira-kira 500 meter antara satu sama lain, selain sistem mekanikal dan elektrikal yang masih tertakluk pada semakan serta kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.
Perbezaan antara status “dicadangkan” dengan “diluluskan” perlu terus dijelaskan kepada masyarakat.
Aspek selepas pembinaan juga perlu diberi perhatian.
Siapakah yang akan mengendalikan pusat kawalan, menguji kipas, menjalankan latihan menyelamat, menyimpan alat ganti dan membiayai penggantian peralatan selepas tamat tempoh jaminan?
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, ketika pelancaran projek itu menegaskan, manfaat SSLR2 perlu dirasai oleh masyarakat yang sekian lama bergantung pada laluan yang sukar.
Seri Alexander Nanta Linggi, ketika pelancaran projek itu menegaskan, manfaat SSLR2 perlu dirasai oleh masyarakat yang sekian lama bergantung pada laluan yang sukar.
“Penduduk pedalaman juga bakal menikmati perjalanan yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
Keselamatan yang dimaksudkan itu tidak terhasil semata-mata kerana perjalanan menjadi lebih pendek.
Keselamatan itu bergantung pada pelbagai aspek yang tidak dapat dilihat secara langsung, seperti kestabilan batuan, ketahanan lapisan terowong, sistem saliran, pengudaraan dan komunikasi serta kesiapsiagaan pasukan kecemasan sepanjang hayat aset.
LEBIH DARIPADA GELARAN “PERTAMA”
Terowong Bukit Pagon mempunyai beberapa ciri yang mampu menarik perhatian industri pembinaan, iaitu terowong jalan raya pertama di Sarawak, pengurangan jajaran lebih daripada 15 kilometer serta pengiktirafan digital pada peringkat antarabangsa.
Namun, nilai sebenar projek ini tidak terletak pada gelaran, angka atau anugerah sematamata.
Ukuran yang lebih bermakna ialah sejauh mana projek ini mampu melindungi pekerja, mengurus perubahan kos, membina kepakaran tempatan serta menghasilkan aset yang selamat, berdaya tahan dan dapat disenggara sepanjang hayatnya.
Bagi masyarakat di pedalaman Lawas, kejayaan itu akhirnya tidak diukur berdasarkan kecanggihan teknologi yang digunakan, tetapi melalui perjalanan yang lebih selamat, lebih singkat dan lebih terjamin.
Di Bukit Pagon, cabaran terbesar bukan sekadar menembusi batuan yang telah terbentuk sejak jutaan tahun.
Cabaran sebenarnya ialah memastikan setiap meter yang digali meninggalkan dua warisan, iaitu sebuah laluan yang memperluas hubungan antara masyarakat dengan generasi tenaga mahir Sarawak yang lebih berkemahiran untuk menerajui projek pembinaan bawah tanah pada masa hadapan.
Apabila terowong itu dibuka kelak, cahaya di hujungnya bukan sekadar menandakan berakhirnya kerja pengorekan.
Cahaya itu juga menjadi lambang bahawa ilmu, keberanian dan keupayaan anak tempatan mampu menembusi batas geografi serta membuka jalan baharu bagi masa hadapan Sarawak.



