MEDAN dakwah merupakan perjuangan dilakukan oleh manusia yang dipilih oleh Allah SWT untuk melaksanakannya dalam kehidupan.
Perjalanan dakwah tidak pernah lekang daripada mehnah dan kesukaran yang sentiasa ada di hadapan para pendakwah.
Namun, berbekalkan kecekalan, kesabaran, dan kekuatan jiwa yang dididik dengan al-Quran, dakwah perlu diteruskan demi kesejahteraan umat manusia.
Terlalu banyak kisah yang sewajarnya menjadi pemangkin semangat kita ke arah mencari reda Allah SWT dan bukannya meminta-minta pujian dan ganjaran daripada manusia.
Bukan menjadi larangan bagi kita untuk mendapatkan ganjaran daripada manusia, namun kita perlu berpada-pada supaya tidak hanyut di tengah-tengah dambaan kemasyhuran.
Bahkan, sewaktu perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW, Baginda juga menghadapi perkara yang sama, iaitu didatangi Utbah bin Rabiah, salah seorang pembesar Quraisy yang bijak.
Beliau bersepakat dengan kaum Quraisy untuk melakukan rundingan damai dengan Rasulullah SAW agar Baginda tidak meneruskan dakwahnya di Mekah.
Antara tawaran beliau kepada Baginda SAW adalah menjadikan Baginda sebagai orang terkaya dengan mengumpul harta dalam kalangan mereka, kemudian ingin menjadikan Baginda sebagai seorang raja sekiranya Baginda menginginkan darjat daripada mereka.
Walaupun tawaran-tawaran yang disediakan kepada Baginda SAW amat lumayan, namun sedikit pun tawaran tersebut tidak mampu mengubah prinsip dakwah Baginda SAW di Mekah.
Wahyu al-Quran cukup menjadi penguat Baginda untuk meneruskan dakwah walaupun dimusuhi dan diancam oleh sebahagian besar kaum Quraisy ketika itu.
Sebagaimana fi rman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berduka cita (terhadap apa-apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang yang tertinggi jika kamu orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
“Jika kamu terluka, maka sesungguhnya kaum (yang memerangi kamu) itu juga mendapat luka yang sama.
“Dan demikian itulah keadaan hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang yang mati syahid (mati dalam perjuangan).
“Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang yang zalim.’ (maksud Al-Imran: 139-140)
Ganjaran menanti pejuang
Jika dibandingkan dengan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada kita, ia jauh lebih baik dan tiada bandingan dengan ganjaran yang ada di dunia.
Ganjaran dunia hanyalah bersifat sementara, berbanding ganjaran akhirat yang kekal abadi selama-lamanya.
Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk (kebaikan), dia akan memperoleh pahala seperti pahala orang yang mengikutinya, tanpa mengurangkan sedikit pun pahala mereka.” (hadis riwayat Muslim) Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis tersebut dalam Sahih Muslim, iaitu menurut beliau:
“Sesiapa yang memulakan sesuatu kebaikan atau memberi panduan kepada kebaikan, setiap kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang mengikutinya akan memberi manfaat besar kepada dirinya.
“Ia ibarat menanam benih yang kemudiannya tumbuh menjadi pokok yang memberikan buah yang berpanjangan, di mana setiap buah itu adalah pahala yang kita terima.”
Dakwah bukan dilihat pada hasilnya, tetapi dakwah dinilai pada usaha yang tidak putus asa dan berterusan.
Dakwah sememangnya memerlukan masa yang panjang dan perancangan yang teliti untuk menjayakannya, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam mendidik para sahabat, dan usaha dakwah ini diteruskan hingga ke hari ini untuk mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT.



