SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, memberi amaran bahawa Seoul akan mengambil langkah lanjut jika Ukraine enggan memohon maaf secara terbuka berhubung pendedahan secara unilateral maklumat mengenai pemindahan tawanan perang (POW) Korea Utara ke Korea Selatan.
Seoul mengambil pendirian tegas terhadap tindakan Ukraine mendedahkan pemindahan dua askar yang ditawan ketika berjuang untuk Rusia, memberi amaran bahawa keluarga mereka mungkin menjadi sasaran Pyongyang.
Tawanan perang terbabit ditangkap oleh tentera Ukraine pada awal tahun lalu selepas dikerahkan bersama ribuan tentera Korea Utara untuk menyokong perang Rusia menentang Ukraine, sebagai pertukaran bagi bantuan ekonomi dan ketenteraan kepada Pyongyang.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mendedahkan pemindahan itu dalam ucapannya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu.
Lee menyatakan, beliau kecewa dengan pendedahan oleh Zelensky itu mendakwa Kiev cuba menggambarkan beliau sebagai seorang yang berbahong.
Seoul menegaskan, kerahsiaan adalah kunci untuk melindungi saudara-mara tawanan perang tersebut.
Seoul menuntut penjelasan dan permohonan maaf rasmi daripada Ukraine, menyatakan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman jelas semasa rundingan untuk merahsiakan pemindahan itu, atas kebimbangan terhadap keselamatan keluarga tawanan perang di Korea Utara.
“Jika Ukraine terus enggan mengakui fakta dan memohon maaf secara terbuka, kami akan mengambil langkah lanjut,” kata Presiden Korea Selatan itu pada Jumaat.
“Ini adalah perkara yang menyentuh maruah Republik Korea dan rakyatnya, serta tidak boleh dipandang remeh,” tulis Lee di platform X.
Penganalisis berpendapat bahawa dari perspektif Korea Selatan, tindakan merahsiaan pemindahan tawanan perang itu mungkin dilakukan sebahagiannya demi kepentingan Ukraine, memandangkan pendedahan umum boleh merumitkan urusan pertukaran tahanan antara Kyiv dan Rusia.
Bagaimanapun menurut seorang Profesor Sains Politik di Universiti Myongji, Shin Yul, dalam landskap politik domestik Korea Selatan, pendekatan Seoul itu boleh menimbulkan masalah memandangkan pendekatan pentadbiran semasa bersikap lebih berlembut terhadap Korea Utara.
Katanya, kerajaan bertindak pantas dalam kes melibatkan Ukraine ini, namun sangat berhati-hati dalam menangani insiden periuk api Korea Utara (yang mencederakan askar Korea Selatan). Perbezaan ketara ini boleh menyebabkan orang ramai berasa sangat tidak berpuas hati.
Sementara itu, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menyifatkan isu itu sebagai salah faham diplomatik dan berharap kerjasama antara kedua-dua negara dapat diteruskan.
Sybiha berkata, Korea Selatan merupakan negara penting kepada Ukraine dan berharap hubungan serta kerjasama kedua-dua negara terus berkembang. – AFP



