ARTIKEL

Prof. Madya Dr Mohd Sohaimi Esa pada kunjungan hormat delegasi Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Suara Sarawak di sini, hari ini. – Foto: HAZIQ ANWAR

UMS rancang kerjasama strategik dengan universiti tempatan Sarawak angkat karya Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penghasilan karya berkualiti yang mengangkat sejarah dan kepimpinan Borneo menjadi antara fokus utama kerjasama strategik yang sedang dirancang antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan universiti tempatan di Sarawak seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Ketua Penyelidik Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Madya Dr Mohd Sohaimi Esa berkata kerjasama itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan kajian perbandingan antara Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Menurut beliau, kajian tersebut penting untuk melihat kekuatan, keistimewaan serta keunikan institusi berkenaan yang menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti kedua-dua negeri.

“Oleh itu, kerjasama ini melibatkan UMS dengan Suara Sarawak, dan kita juga berusaha melibatkan UNIMAS sebagai institusi penting di Sarawak.

“Idea yang kita ketengahkan ialah melihat satu kajian perbandingan antara TYT Sabah dengan TYT Sarawak kerana melalui perbandingan ini kita dapat melihat kekuatan, keistimewaan dan kelebihan yang menjadikan kedua-dua negeri itu unik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat delegasi UMS ke Suara Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Sohaimi berkata kerjasama berkenaan turut meliputi bidang penerbitan termasuk kajian berkaitan institusi Islam, khususnya sejarah dan perkembangan masjid di Sarawak dengan penglibatan institusi pengajian tinggi tempatan.

Katanya, kunjungan tersebut bertujuan merapatkan hubungan kolaborasi antara Sabah dengan Sarawak dalam bidang penerbitan serta penulisan.

“Kedua, kita mahu kolaborasi ini diteruskan dengan adanya Surat Hasrat (LoI). Melalui kerjasama ini, ia bukan sahaja dapat memperkasakan mobiliti kakitangan UMS tetapi juga pelajar kami.

“Selain itu, kepakaran dan kemahiran yang ada dalam Suara Sarawak dapat dikongsi bersama UMS, begitu juga kepakaran UMS dapat dikongsi bersama Suara Sarawak,” ujarnya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata hubungan akademik tersebut mampu memperkukuh bidang pendidikan dan penerbitan sehingga ke peringkat serantau serta antarabangsa.

“Justeru, kerjasama ini turut membuka ruang untuk menerapkan konsep keusahawanan dalam industri penerbitan agar bidang penulisan buku dapat berkembang sebagai satu bidang yang mempunyai nilai ekonomi.

“Konsep keusahawanan dalam penerbitan, konsep penjanaan dan kemahiran ilmu ini boleh dijalinkan agar menjadi panduan bukan sahaja kepada ahli akademik dan pelajar tetapi semua yang terlibat dalam industri buku,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Mohd Sohaimi berkata antara perkara yang menarik perhatian beliau hasil kunjungan tersebut ialah pendekatan Suara Sarawak dalam mengembangkan penerbitan bukan sahaja melalui akhbar, malah menerusi transformasi digital.

“Saya melihat bagaimana Suara Sarawak dapat menghasilkan bukan sahaja penerbitan akhbar, tetapi juga bagaimana konsep digitalisasi dalam akhbar itu dilaksanakan.

“Selain itu, penerbitan yang dihasilkan turut memperkasakan kajian dan pentadbiran kerajaan negeri Sarawak yang bukan sahaja memberi faedah kepada negeri, tetapi juga masyarakat setempat,” tambahnya.

Beliau turut menyifatkan perkembangan industri buku di Sarawak sebagai sesuatu yang menarik kerana berjaya mengangkat karya tempatan serta membuka ruang kepada konsep keusahawanan dalam kalangan penulis.

“Penerbitan berkualiti juga memainkan peranan penting dalam mengetengahkan legasi kepimpinan, budaya dan naratif Sarawak kepada khalayak lebih luas.

“Melalui kolaborasi ini, kita dapat memperkukuhkan hubungan kedua-dua negeri dan pihak kami di Sabah dapat mempelajari apa yang ada di Sarawak untuk dilaksanakan juga di Sabah,” jelasnya.

Tambah beliau, selain kandungan, aspek persembahan dan kualiti penerbitan turut menjadi faktor yang menjadikan sesebuah buku itu mempunyai nilai tersendiri.

“Penghasilan buku yang berkualiti tinggi memperlihatkan bagaimana sesebuah penerbitan mampu menjadi dokumentasi penting mengenai perjalanan kepimpinan negeri.

“Itulah yang saya rasa Sabah perlu banyak pelajari daripada apa yang ada di sini,” katanya.

Turut hadir, Ahli Penyelidik Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Madya Dr Romzi Ationg dan Dr Abang Mohd Razif Abang Muis.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU