KUNJUNGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sarawak dan Sabah dalam tempoh tiga hari rupanya bukan dengan tangan kosong.
Biarpun ia merupakan sebahagian daripada rangka lawatan ke seluruh negara, namun secara tidak semena-mena ia meningkatkan suhu politik tanah air.
Penulis berada di keduadua lokasi — Kuching dan Kota Kinabalu — bagi menilai sambutan dan sokongan terhadap beliau, dalam konteks mutakhir.
Memerhati dan menaakul gelombang sokongan dan upaya Anwar menakluki hati kedua-dua parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Juga menilai rasa hormat Anwar terhadap kedua-dua pemimpin parti itu demi menjanjikan kelangsungan sokongan.
Dalam kunjungan ke Borneo kali ini, PMX menghadiri konvensyen mini yang diadakan di kedua-dua lokasi.
Biarpun tertutup untuk media, risikan beberapa rakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan, Anwar memberi penekanan kepada pimpinan parti itu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum.
Jika suhu Pilihan Raya Dewan Undangan Sarawak semakin membahang, dengan persiapan berganda akan bermula selepas Aidilfitri, tidak mustahil PRU juga berlangsung dalam tempoh yang sama.
Mungkinkah lebih awal daripada Pilihan Raya Umum Sarawak yang tarikh matangnya, 14 Februari 2027.
Mungkinkah kedua-dua pilihan raya ini berlangsung serentak? Serentak juga dengan dua negeri lain; Melaka dan Johor? Ia tidak mustahil jika strategi dan percaturan politiknya mengena.
Bayangannya sudah diberikan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, yang mencadangkan pilihan raya serentak Pilihan Raya Umum dengan Dewan Undangan Negeri Johor dan Melaka.
AMK dalam kenyataannya berkata, kos pilihan raya PRU-15 adalah sekitar RM1.01 bilion, kos PRN Johor pada 2022 adalah sekitar RM96 juta, manakala PRN Melaka RM46 juta.
Jika ketiga-tiganya diadakan berasingan kosnya boleh mencecah RM1.152 juta. Manakala jika diadakan serentak, penjimatan diramalkan sekitar RM142 juta.
Manakala bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah penjimatan boleh mencecah RM250 juta jika turut melibatkan Pilihan Raya DUN Sarawak.
Katanya, kos perbelanjaan ini adalah yang ditanggung SPR sebagai badan yang menguruskan proses pilihan raya, manakala kos-kos berasingan membabitkan perbelanjaan oleh agensi kerajaan yang turut membantu proses tersebut, termasuk Polis Diraja Malaysia, pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan, serta jabatan lain.
Atas rekod inilah jumlahnya dianggarkan melebihi tambahan setengah bilion ringgit. Kos parti politik tambahnya lagi dijangka turut meningkat.
Ia membabitkan peruntukan kempen, latihan, poster, keraian dan pengangkutan selain deposit.
Menyokong agar proses demokrasi ini diadakan serentak, Wan Ahmad yakin, ia dapat mempengaruhi jumlah peratusan keluar mengundi, kerana lazimnya, jumlah yang hadir ketika PRU lebih besar.
Berapa perbelanjaan sebenar pilihan raya negeri di Sarawak? Pada 2011, SPR berbelanja RM78 juta untuk 71 kerusi DUN.
Jumlahnya kemudian melonjak tiga kali ganda untuk pilihan raya 2016, sebanyak RM181 juta untuk 82 kerusi DUN.
Ketika PRN Sarawak 2021, yang ditangguh akibat pandemik COVID-19, jumlah keseluruhan kos adalah sekitar RM150 juta.
Jumlah ini membabitkan peralatan pilihan raya, ICT, kerja-kerja pembangunan, lojistik dan juga elaun petugas pilihan raya.
Justeru berapa pula kos pilihan raya Sarawak yang dijangkakan suku ketiga atau keempat 2026? Jika krisis Asia Timur berterusan, kosnya dijangka akan terus meroket, terutamanya dari aspek lojistik dan pengangkutan.
Dengan pertambahan 17 kerusi baharu, jumlahnya tidak mustahil boleh mencecah lebih RM250 juta.
Justeru itu, adakah pilihan raya serentak ini akan menzahirkan kos efektif? Tempoh DUN Sarawak akan berakhir Februari tahun depan, DUN Melaka pada Disember manakala Johor pada April 2027.
Berdasarkan sejarah, Sarawak pernah bersama-sama negeri lain terlibat dalam pilihan raya umum bersama.
Pilihan raya pertama Sarawak selepas pembentukan Malaysia diadakan secara berperingkatperingkat bermula 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.
Ketika itu Dewan Undangan Negeri Sarawak yang membabitkan 48 kerusi dibubarkan serentak dengan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain kecuali Kelantan, pada 20 Mac 1969.
Penamaan calon ditetapkan pada 5 April 1969. Bagaimanapun, akibat rusuhan kaum yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei tahun itu yang diikuti dengan pengisytiharan darurat, pilihan raya itu ditangguhkan sehingga 1970.
Apabila penangguhan itu dikuatkuasakan, pilihan raya di sembilan daripada 48 kawasan di Sarawak telah bermula tetapi semuanya masih belum selesai.
Pilihan raya negeri dan Parlimen disambung semula pada 6 Jun 1970 dan selesai pada 4 Julai 1970.
Sepanjang pilihan raya itu, satu tragedi berlaku di Sarikei pada 29 Jun 1970 apabila pengganas komunis membunuh tiga pegawai pengurus pilihan raya yang dalam perjalanan pulang selepas pengundian selesai di sebuah pusat pengundian.
Di luar sebuah lagi pusat pengundian di Sarikei, sebutir bom ranjau meletup tetapi tidak mendatangkan cedera.
Pilihan raya negeri kedua diadakan dari 24 April hingga 14 September 1974, serentak dengan pilihan raya Parlimen selepas Council Negeri dan semua Dewan Undangan Negeri lain dan Parlimen dibubarkan.
Pilihan raya negeri yang ketiga diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978. Inilah detik pertama kalinya pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.
Pilihan raya negeri yang keempat diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri baharu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac 1981.
Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Disember dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.
Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987 bagi diadakan pilihan raya negeri yang kelima selepas sekumpulan wakil rakyat memberontak terhadap Ketua Menteri dalam peristiwa yang dikenali sebagai “Ming Court Affair”.
Pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 16 April Abdul Taib mengetuai BN negeri dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Pilihan raya negeri yang keenam pada 1991 juga berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 September.
Ia membabitkan 56 kerusi, setelah lapan kerusi ditambah dalam proses persempadanan semula pada 1987, manakala pilihan raya negeri yang ketujuh diadakan pada 7 dan 8 September 1996.
Kali ini jumlah kerusi ditambah kepada 62 kerusi. Pilihan raya negeri yang kelapan berlangsung pada 27 September 2001 berikutan pembangunan pesat infrastruktur dan komunikasi.
Pilihan raya negeri kesembilan diadakan pada 20 Mei 2006 selepas dewan dibubarkan pada 24 April, diikuti pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April 2011.
Hasil persempadanan semula pada 2003, jumlah kerusi meningkat kepada 71 kerusi.
Pilihan raya negeri ke-11 berlaku pada 7 Mei 2016, dengan jumlah kawasan meningkat kepada 82 kawasan (susulan persempadanan semula pada 2015), diikuti pilihan raya ke-12 pada 18 Disember 2021, setelah Kerajaan Negeri memohon penangguhan berikutan situasi darurat akibat penularan wabak maut COVID-19.
Pada 2025, DUN Sarawak sudah meluluskan pertambahan 17 kerusi baharu untuk menjadikan jumlah keseluruhannya 99 kerusi.
Kini ia menunggu kelulusan di Parlimen sebelum ia dapat dilaksanakan. Jika tanpa halangan, ia mungkin dapat dilaksanakan pada pilihan raya kali ini.
Justeru kembali kepada persoalan, bila beduk raya akan dipalu? Ketika umat Islam berteka-teki takbir raya Aidilfitri akan berkumandang pada Jumaat atau Sabtu depan (kerana fobia dengan Aidilfitri mengejut pada 2024), tumpuan juga tertumpu kepada raya yang satu ini.
Apakah faktor yang mendorong kepada pemilihan tarikh hari penting ini? Pertama, kerajaan penyandang berasa yakin mereka boleh kembali dengan kemenangan yang selesa; tiada isu besar; kedudukan kewangan yang stabil dan emosi rakyat terjaga.
Paling penting, tidak melepasi tarikh matang pemerintahan dan tahap keselamatan terjamin. Dalam konteks Sarawak, kedudukannya lebih daripada itu.
Sekarang adalah waktu terbaik untuk pelaksanaan demokrasi kerana kerajaan memerintah dilihat begitu berjaya.
Untuk Kerajaan Persekutuan juga, sekarang adalah waktu yang terbaik, sebelum ekonomi dunia semakin memburuk, kos semakin tinggi dan isu semakin banyak. Juga dibantu oleh kedudukan pembangkang yang kini dibelit pelbagai masalah.
Yang pasti, rakyat menunggu penuh debar bila tarikh penting bukan dua, tetapi tiga pengumuman “raya” ini, termasuk PRN Sarawak.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.



