Undercover juara BOTB Saratok 2019

SARATOK: Undercover mengharumkan nama Sarikei selepas menewaskan sembilan kumpulan lain sebelum bergelar juara Pertandingan Battle Of The Band anjuran Kelab Kebajikan dan Kebudayaan dengan kerjasama Muhibbah Studio Saratok, malam tadi.

Undercover dibarisi Siti Zahrah Abdullah, 43, (vokalis) , Syahrell Ruzaimy, 17, (dram), Janin Janting, 35, (keyboard), Daviel Maq Ujit, 23 (gitar), Brandon Giggs Lim, 23, (rhythm) dan Umar Balai, 18 (bassist) membawa pulang wang tunai RM2,000.

Sehubungan itu, ketua kumpulannya, Siti Zahrah berkata, Undercover yang ditubuhkan pada 2017 pernah menyertai pertandingan kugiran sebelum ini.

“Bagaimana pun, kemenangan ini adalah kejayaan paling mani dan saya tidak sangka kami juara kerana saingan dalam pertandingan kali ini memang cukup hebat.

“Semua band yang mengambil bahagian memang terbaik dan mempunyai kelebihan yang tersendiri,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Undercover bersama hadiah yang dimenangi selepas menjuarai BOTB Saratok, semalam.

Menurutnya, dalam pertandingan itu, Undercover mempertaruhkan dua lagu Ku Di sini (Agnes Monica) dan Tragic Kingdom (No Doubt).

“Saya tidak menafikan kejayaan ini adalah hasil kerjasama padu semua anggota kumpulan. Malah kami berlatih bersungguh-sungguh sebelum menyertainya,” katanya.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Chromatic Octive dari Sibu dengan hadiah wang tunai RM1,500 manakala, ketiga Meet Uncle Kent, mewakili Saratok membawa pulang RM1,000.

Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju menyampaikan hadiah kepada pemenang

Dalam pada itu, Pengurus Muhibbah Studio, Sabini@Salem Salleh berkata, program merupakan sebahagian aktiviti seni dan muzik Parlimen P.205 Saratok bertujuan mencungkil bakat dalam kalangan generasi muda.

“Pertandingan yang berlangsung di Gelanggang Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok ini juga bermatlamat menyemai semangat kerjasama, perpaduan selain mengalak penyertaan golongan muda dalam aktiviti sihat melalui muzik,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.
Hadir sama, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Kebudayaan Saratok, Mohd Khairul Fadhillah Nasir.