BINTULU: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) hari ini menyalurkan bantuan dana berjumlah RM200,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony Bintulu bagi menyokong pembangunan prasarana serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran di sekolah berkenaan.
Penyerahan dua cek bantuan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah, Fr. Lee Yun Ming dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.
Sumbangan yang melibatkan peruntukan masing-masing berjumlah RM150,000 dan RM50,000 itu bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan berkualiti untuk kegunaan warga sekolah.
Johnny Pang berkata, penyaluran bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak melalui UNIFOR dalam menyantuni institusi pendidikan berasaskan agama, selaras dengan usaha memperkasakan sektor pendidikan negeri secara inklusif.
Menurutnya, penyediaan prasarana dan kemudahan pembelajaran yang sempurna amat penting bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah bagi menyediakan kemudahan terbaik serta menyokong usaha melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum,” katanya.





