ARTIKEL

Uggah menandatangani plak pelancaran Aunimas DEX Hub di Bangunan PeTARY, UNIMAS, di sini, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

UNIMAS DEX Hub Percepat Kesiapsiagaan Digital Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Digital Experience Hub (DEX Hub) merupakan langkah strategik dalam mempercepat kesiapsiagaan digital Sarawak selaras dengan teras kelima Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia juga melibatkan aspek seperti bakat dan kemahiran digital; infrastruktur dan keterhubungan; tadbir urus data serta keselamatan siber; penyelidikan; inovasi; dan keusahawanan.

Uggah diiringi tetamu kehormat yang lain mengadakan lawatan ke reruai pameran.FOTO: GHAZALI BUJANG

Menurutnya, UNIMAS DEX Hub yang dibangunkan menerusi kerjasama dengan Google, AI Singapore, Sarawak AI Centre, Insights Analytics dan EY Consulting menyasarkan beberapa pencapaian utama termasuk memperluas penggunaan Gemini AI dalam kalangan kakitangan dan pelajar, melaksanakan pensijilan Google Certified Educator (GCE) dan banyak lagi.

“Melalui persekitaran kolaboratif ini, saya percaya DEX Hub akan membolehkan penyelidik, penjawat awam dan pihak industri menguji bagaimana teknologi baharu seperti AI, Analitik Data Raya (Big Data Analytics) dan Internet Kebendaan (IoT) mampu menyelesaikan cabaran khusus di Sarawak termasuk dalam bidang tenaga baharu, kejuruteraan pembinaan, pertanian pintar serta penjejakan karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran UNIMAS DEX Hub, di Bangunan PeTARY, UNIMAS, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menambah, kesemua sasaran yang ingin dicapai oleh UNIMAS DEX Hub memerlukan satu elemen penting iaitu tadbir urus data.

Menurutnya, Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak (SDGF) yang baru dilancarkan dibangunkan bagi menyokong masa depan digital Sarawak dengan memastikan pemilikan, tanggungjawab dan hak ke atas data ditakrifkan dengan jelas.

“Ini juga termasuk perkhidmatan dan operasi kerajaan disokong oleh data yang dipercayai serta boleh diharap; keselamatan dan privasi data sentiasa dilindungi; dan data digunakan secara selamat, sah, bertanggungjawab serta beretika.

“Kerjasama antara UNIMAS DEX Hub dengan semua pihak berkepentingan dalam mendukung SDGF bertujuan mewujudkan ekosistem data yang diyakini, selamat, saling beroperasi dan bertanggungjawab untuk Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditemui beliau memberitahu, penguasaan AI penting untuk masyarakat khususnya golongan pelajar termasuk mereka yang berkhidmat dalam sektor awam serta swasta kerana teknologi berupaya mengubah cara manusia belajar, bekerja dan menjalani kehidupan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat palsu, khususnya menjelang pilihan raya dan tidak seharusnya menerima sesuatu dakwaan bulat-bulat sebaliknya perlu membuat semakan, menjalankan penyelidikan dan mengesahkan kesahihan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka