BELAGA: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPPS) terus memperkukuh komitmen membangunkan komuniti terpinggir melalui program jangkauan kesihatan di Kampung Lusong Laku – penempatan Penan di pedalaman Belaga, baru-baru ini.
Program sempena ulang tahun ke-30 UNIMAS itu dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Sarawak (SBCSG) dan disokong oleh Klinik Kesihatan Lusong Laku ini memberi manfaat kepada lebih 100 penduduk melalui perkhidmatan dan pendidikan kesihatan menyeluruh.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr Ahmad Hata Rasit berkata, inisiatif sebegini selari dengan aspirasi universiti untuk memanfaatkan kepakaran akademik demi kesejahteraan masyarakat luar bandar yang kurang mendapat akses kepada kemudahan asas.



“Sebagai universiti awam yang berteraskan nilai kemasyarakatan dan keterangkuman, UNIMAS komited menyumbang kepada pembangunan komuniti khususnya masyarakat pribumi yang berdepan cabaran kesihatan.
Program ini menggabungkan ilmu, kepakaran dan keprihatinan yang mampu memberi impak jangka panjang,” katanya.
Program diketuai Dr Melissa Lim Siaw Han dengan pelibatan tenaga akademik, pakar perubatan, sukarelawan UNIMAS dan agensi sokongan yang lain.
UNIMAS percaya bahawa kesinambungan program jangkauan kesihatan seperti ini akan terus menjadi platform penting dalam memartabatkan kesihatan awam serta memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat setempat di seluruh Sarawak.



