ARTIKEL

Profesor Dr Asri dan Profesor Madya Dr Karen Koh menunjukkan dokumen MoU antara UNIMAS dan National University Hospital, Singapura.

UNIMAS, National University Hospital Singapura Meterai MoU Perkasa Pendidikan Kejururawatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) terus memperkukuh kedudukannya dalam pendidikan kejururawatan di peringkat antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama National University Hospital (NUH) serta pelaksanaan lawatan akademik strategik ke beberapa institusi pengajian tinggi di Singapura baru-baru ini.

MoU berkenaan dimeterai di NUH Tower sekali gus mengukuhkan kerjasama yang telah terjalin sejak 2004 antara kedua-dua institusi dalam bidang kejururawatan, penyelidikan kesihatan serta pembangunan profesional.

UNIMAS diwakili oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr Asri Said manakala NUH diwakili Ketua Jururawat, Profesor Madya Dr Karen Koh.

Menurut kenyataan UNIMAS, kerjasama ini akan memperluas peluang dalam perkongsian kepakaran klinikal, pembangunan kurikulum, penyelidikan bersama serta program mobiliti pelajar dan kakitangan.

“Kerjasama ini membolehkan UNIMAS memperkukuh ekosistem pendidikan kejururawatan melalui pendedahan antarabangsa, perkongsian amalan terbaik klinikal serta pembangunan penyelidikan berasaskan bukti yang lebih berimpak,” menurut kenyataan itu.

Delegasi UNIMAS merakam gambar kenangan semasa majlis menandatangani MoU antara UNIMAS dan National University Hospital, Singapura.

Delegasi UNIMAS turut mengadakan lawatan akademik selama dua hari bermula 30 hingga 31 Mac lalu ke Ngee Ann Polytechnic dan Alice Lee Centre for Nursing Studies bagi memperkukuh jaringan kerjasama akademik serantau.

Lawatan berkenaan turut dimanfaatkan sebagai platform promosi Persidangan Pelajar Kejururawatan Antarabangsa ke-4 (INSC 2026) anjuran UNIMAS, selain memperluas penyertaan institusi antarabangsa dalam persidangan tersebut.

Perbincangan akademik turut memberi tumpuan kepada inovasi kurikulum kejururawatan, latihan klinikal berasaskan simulasi serta pengukuhan program dari peringkat diploma hingga doktor falsafah termasuk Doctor of Nursing Practice.

Kedua-dua pihak menyatakan minat untuk memperluas kerjasama pada masa hadapan merangkumi penyelidikan bersama, penerbitan akademik, pertukaran kakitangan serta program mobiliti pelajar selain penerokaan penganjuran program akademik dwi atau bersama.

Lawatan ini turut disokong oleh Business Events Sarawak yang menyediakan pembiayaan bagi penganjuran INSC 2026 sekali gus mencerminkan sokongan terhadap agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi Sarawak.

Menurut Profesor Dr Asri Said, penglibatan ini mencerminkan visi strategik UNIMAS untuk memperkukuh kedudukan global dalam bidang kejururawatan.

“Melalui kerjasama antarabangsa yang berterusan, UNIMAS berhasrat melahirkan jururawat yang kompeten, berdaya saing serta komited terhadap pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Inisiatif ini mengukuhkan lagi usaha UNIMAS dalam memperkasa kecemerlangan akademik, inovasi penyelidikan dan pengiktirafan antarabangsa sejajar dengan keperluan global terhadap tenaga kerja kejururawatan yang berkualiti.

Selain itu, sesi meja bulat turut membincangkan isu global seperti kekurangan tenaga kerja kejururawatan, transformasi sistem kesihatan, integrasi kesihatan digital serta pengukuhan peranan jururawat dalam kepimpinan dan pembuatan dasar.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU