KOTA SAMARAHAN: Projek Perkhidmatan Pembangunan Piawaian Bagi Pengujian In-Situ Geoteknikal Tanah Gambut (Fasa 1) dijangka membantu menghasilkan reka bentuk infrastruktur lebih tepat dan menjimatkan kos pembinaan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit menekankan kerelevanan projek tersebut memandangkan Sarawak memiliki kawasan tanah gambut terbesar di Malaysia.
“Kebanyakan kawasan ini terletak di jajaran pesisir pantai yang menjadi tumpuan pusat ekonomi utama.
“Tanpa ujian parameter geoteknikal yang tepat, reka bentuk infrastruktur cenderung menjadi konservatif, dan akhirnya akan meningkatkan kos pembinaan secara mendadak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan projek tersebut antara UNIMAS menerusi Pusat Penyelidikan Pembinaan di Tanah Gambut dan Tanah Bermasalah (COPPS), Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Ruang Serbaguna, Fakulti Kejuruteraan, UNIMAS, di sini, hari ini.
Menurutnya, kajian piawaian itu juga sejajar dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak dalam merangka infrastruktur mampan yang dipacu data.
“Ia juga menyokong agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi reka bentuk kejuruteraan yang lebih jimat kos, serta menepati falsafah Malaysia MADANI melalui penciptaan penyelesaian saintifik acuan tempatan.
“Usaha ini turut menjiwai kerangka IDEA dalam Pelan Strategik UNIMAS 2026-2030 yang mengaplikasikan inovasi teknologi demi kelestarian pembinaan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap projek perintis tersebut menjadi asas kukuh ke arah pembangunan sebuah garis panduan pengujian in-situ yang komprehensif bagi tanah gambut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CREAM, Syed Hazni Abd Gani berkata, fasa pertama projek merupakan langkah strategik untuk melengkapi dan menambah nilai kepada dokumen Garis Panduan Pembinaan di Atas Tanah Gambut dan Tanah Organik di Malaysia yang diterbitkan pada 2019.
Dalam pada itu, majlis penyerahan tersebut dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan UNIMAS bersama COPPS, manakala projek kerjasama diuruskan oleh UNIMAS Holdings Sdn Bhd (UHSB).



