ARTIKEL

Unit 'Mata-mata Iklim' untuk Jaga Dunia Hijau dan Kredit Karbon Hutan Sarawak

Unit ‘Mata-mata Iklim’ untuk Jaga Dunia Hijau dan Kredit Karbon Hutan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menubuhkan Unit Diplomasi Iklim dan Tenaga Sarawak di bawah Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar bagi menerajui semua libat urus serantau dan antarabangsa berkaitan iklim, karbon dan peralihan tenaga.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sejajar usaha memajukan strategi jangka panjang negeri ini dalam bidang iklim dan tenaga.

Beliau berkata, Pusat Perubahan Iklim Sarawak akan ditempatkan di bawah unit berkenaan sebagai bahagian teknikal untuk menyokong kerja dasar, data dan saintifik.

“Struktur tadbir urus ini meletakkan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam diplomasi iklim dan tenaga, sekali gus melindungi aset alam sekitar sambil mewujudkan nilai ekonomi baharu untuk Sarawak.

“Melalui unit ini, Sarawak akan memperkembangkan sumber hijau baharu termasuk hidrogen dan ammonia, inisiatif ekonomi kitaran, bahan berasaskan bio, Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta bahan suapan bagi pengeluaran bahan api penerbangan mampan.

“Ini termasuk peralihan kepada ekonomi kitar semula moden yang mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, menurunkan pelepasan metana dan meningkatkan kecekapan sumber di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.

Abang Johari berkata, usaha memperkukuh agenda tenaga bersih turut disokong inisiatif pemuliharaan hutan dan landskap yang menjadi tunjang sumber air serta operasi empangan hidro negeri.

Beliau berkata, Sarawak mencapai penanaman lebih 55 juta pokok setakat Oktober tahun ini, sekali gus melepasi sasaran 35 juta pokok, selain menjadi wilayah pertama di Malaysia mengeluarkan lesen karbon hutan bagi menyokong projek karbon berasaskan alam semula jadi.

Jelasnya, Jabatan Hutan turut mengeluarkan Permit Kajian Karbon kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan pemuliharaan hutan dan tanah gambut di kawasan tadahan air empangan hidro utama.

“Pendekatan ini bukan sahaja melindungi sumber air dan meningkatkan keselamatan empangan, malah membuka ruang potensi hasil karbon jangka panjang,” ujarnya.

Beliau berkata, SEB turut menandatangani Memorandum Persefahaman lima tahun dengan Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) untuk membawa amalan terbaik global dalam pengurusan biodiversiti di sekitar aset infrastruktur utama.

“Melalui inisiatif ini, kita menjangka dapat menjana kira-kira 250,000 kredit karbon daripada hutan terpelihara bagi mengimbangi pelepasan dalam sektor sukar disingkirkan,” jelasnya.

Abang Johari berkata, usaha pemuliharaan itu juga akan melibatkan komuniti tempatan dan masyarakat peribumi dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pemuliharaan, mengurus bersama kawasan hutan, serta membangunkan projek sara hidup seperti pemulihan, eko-pelancongan, dan hasil hutan bukan kayu.

Katanya, pendekatan itu memastikan nilai yang dijana menerusi pasaran karbon dapat dikongsi dengan komuniti yang tinggal paling hampir dengan kawasan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU