KUCHING: Universiti UCSI dan Jaipura School of Business India telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU), hari ini bagi mengukuhkan perkongsian industri dan institusi menerusi kerjasama akademik.
Majlis pemeteraian MoU yang diwakili Pro Naib Canselor UCSI Kampus Sarawak, Mukvinder Kaur Sandhu dan Ketua Pengarah Jaipura School of Business India, Dr Rajiv R Thakur itu disaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting.
Pemeteraian MoU tersebut menyaksikan penglibatan Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan, UCSI University Kampus Sarawak bakal mengukuhkan perkongsian industri dan institusi menerusi kerjasama akademik.
Turut berlangsung pada majlis sama, pemeteraian perkongsian rasmi di antara fakulti terbabit bersama NOMS Fochun Founders Sdn Bhd mengenai penempatan latihan dan kerjasama latihan.
Mukvinder dalam ucapan aluannya menegaskan kerjasama ini sebagai tanda komitmen bersama dalam mewujudkan ekosistem pendidikan serta memberikan hasil luar biasa kepada pelajar.
Sekali gus katanya, membolehkan pelajar menjadi graduan berkemahiran mengikut tuntutan industri masa kini.
Kesemua 150 delegasi dari Jaipura School of Business India yang hadir menyertai Program Penyerapan Antarabangsa itu merupakan hasil tajaan rasmi oleh Business Event Sarawak (BE) Sarawak.
Turut hadir, Dekan Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan UCSI Universiti Kampus Sarawak, Prof Christoper Wan Sageng, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pelancongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dr Suzie Lim Swee Yen.