ARTIKEL

Cikgu Jenny Tingang.

Unjut Saong Eno’ warisan Kenyah perlu terus diwarisi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Seni menghasilkan unjut saong eno’ – perhiasan tradisional berasaskan manik yang digunakan pada topi etnik Kenyah, perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan khazanah seni kraf berkenaan tidak hilang ditelan zaman.

Penganjur yang juga tenaga pengajar bengkel, Jenny Tingang, 56, atau nama Kenyahnya Selalang, berkata usaha memperkenalkan kemahiran itu kepada golongan muda penting memandangkan perubahan zaman menyebabkan generasi hari ini lebih terdedah kepada teknologi digital berbanding seni kraf tradisional.

Barisan tenaga pengajar, dari kiri, Danielle, Jenny dan Luciana.

Menurutnya, kemahiran menghasilkan unjut saong eno’ bukan sekadar berkaitan warisan budaya, malah mempunyai potensi untuk menjadi sumber pendapatan sekiranya produk yang dihasilkan mempunyai nilai seni, kemasan serta kreativiti yang tinggi.

“Saya beranggapan kemahiran seseorang dan kraf sesebuah bangsa sangat perlu dihidupkan sehingga akhir zaman.

Cikgu Jenny tekun membimbing para peserta bengkel menghasilkan Unjut Saong Eno’.

“Saya sangat ingin mendorong generasi sekarang untuk meneruskan warisan nenek moyang kita kerana kemahiran ini juga boleh menghasilkan pendapatan yang baik sekiranya hasil kerja tangan kreatif, kemas dan menarik,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak di bengkel Unjut Saong Eno di Hotel Telang Usang pada Rabu.

Jenny yang berasal dari Baram, Long Julan, Miri dan kini menetap di Kuching, mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang kraf tangan, khususnya penghasilan produk berasaskan manik.

Foto berkumpulan barisan tenaga pengajar dan para peserta yang terlibat.

Bengkel berkenaan berjaya menarik 26 peserta daripada pelbagai kaum dan latar belakang, termasuk golongan muda yang baru menamatkan pengajian serta peserta berbangsa Cina yang turut menunjukkan minat terhadap seni kraf tradisional masyarakat Kenyah.

Penyertaan pelbagai generasi dan kaum itu sekali gus memperlihatkan bahawa seni warisan seperti unjut saong eno’ masih mampu menarik perhatian masyarakat apabila peluang untuk mempelajarinya disediakan.

Hasil unjut saong eno’ yang sudah siap.

Beliau berkata, minat seni tersebut bermula sejak kecil hasil pengaruh ibunya yang turut mahir menghasilkan unjut saong eno’.

Daripada enam beradik perempuan, katanya, hanya beliau yang benar-benar berminat untuk mendalami kemahiran berkenaan selepas sering didorong ibunya untuk mencuba sendiri.

Cikgu Jenny bersama-sama peserta paling berusia, Paya Deng, 79 tahun.

“Saya mula melihat emak membuat kraf ini dan kemudian beliau menyuruh saya mencuba.

Saya belajar sedikit demi sedikit sehingga akhirnya mahir.

Peserta termuda, Estelle Lee (kiri) dan Clarissa Belle Harry (kanan), 22 tahun, yang turut menunjukkan minat dengan kraf unjut saong eno’.

“Ketika di sekolah juga kami pernah disuruh menghasilkan kraf tangan dan saya memilih manik sebagai kraf saya. Dari situlah minat itu terus berkembang sehingga sekarang,” katanya.

Jenny berkata, walaupun telah lama mahir menghasilkan unjut saong eno’, bengkel berkenaan merupakan pengalaman pertama beliau bertindak sebagai tenaga pengajar.

Suasana sekitar bengkel.

Katanya, sebelum ini beliau hanya menghasilkan kraf secara sendiri dan tidak mempunyai peluang untuk berkongsi kemahiran tersebut dengan orang lain.

“Saya fikir kalau saya seorang sahaja yang tahu membuatnya, bagaimana dengan generasi seterusnya?

Suasana sekitar bengkel.

Jadi saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi kemahiran ini dengan anak-anak muda dan rakan-rakan supaya mereka juga boleh belajar dan mengajar orang lain selepas ini.

“Dengan cara itu, kemahiran ini tidak akan pupus,” katanya.

Penghasilan unjut saong eno’ memerlukan ketelitian yang tinggi bagi memastikan setiap susunan manik kemas dan menghasilkan corak yang tepat.

Beliau berkata, sambutan peserta dengan bengkel berkenaan juga menggalakkan apabila jumlah penyertaan melebihi sasaran awalnya.

“Saya menyasarkan 20 peserta tetapi akhirnya jumlahnya mencapai 26 orang.

Saya lihat mereka begitu berminat dan bersemangat untuk belajar.

“Ada peserta muda sekitar 22 tahun, selain peserta berusia 30-an, 40-an dan 50-an.

Malah, terdapat juga peserta daripada kaum lain yang menunjukkan minat untuk mempelajari kemahiran ini,” ujarnya.

Menurut Jenny, keadaan itu membuktikan seni kraf tradisional masih mempunyai tempat dalam masyarakat sekiranya peluang untuk mempelajarinya disediakan secara berterusan.

Katanya, bengkel seumpama itu tidak seharusnya dilaksanakan sekali-sekala atau hanya dalam tempoh singkat kerana kemahiran menghasilkan kraf tangan memerlukan latihan dan pengulangan.

“Benda ini mungkin sudah lama tidak pernah mereka pegang, lihat atau cuba.

Jadi, kita perlu membuat bengkel dari semasa ke semasa untuk mengasah bakat dan menanam minat mereka terhadap kraf tangan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pemilihan benang yang sesuai dalam menghasilkan unjut saong eno’.

Katanya, jenis dan ketahanan benang perlu disesuaikan dengan saiz serta sifat manik bagi memastikan hasil akhir kemas dan tahan lama.

“Teknik penggunaan benang sangat penting.

Kita perlu memilih benang yang tahan dan sesuai dengan saiz manik, sama ada manik itu halus atau kasar.

“Kalau seseorang itu berminat, biasanya lebih cepat belajar dan menyiapkan sesuatu kraf. Sebab itu minat perlu dipupuk dari semasa ke semasa,” katanya.

Bengkel Unjut Saong Eno’ dianjurkan JennCraft dengan kerjasama Majlis Kraf Sarawak (SCC) dan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian (MTCP), dengan pelibatan dua tenaga pengajar iaitu Danielle Lipag dan Luciana Usun.

Bengkel itu bertujuan memperkenalkan, memelihara dan memperkasakan seni kraf tradisional masyarakat Kenyah, khususnya penghasilan unjut saong eno’, di samping memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik asas penyulaman dan susunan manik.

Program berkenaan turut memberi penekanan peningkatan kemahiran peserta bagi menghasilkan perhiasan yang kemas, kreatif dan berkualiti, selain membuka peluang kepada mereka menjadikan kemahiran kraf sebagai sumber pendapatan.

Jenny berkata, usaha sedemikian wajar diteruskan bagi memastikan seni warisan masyarakat Kenyah bukan sekadar kekal sebagai simbol budaya, tetapi terus diamalkan, dipelajari dan dikembangkan oleh generasi baharu.

“Pembelajaran tidak pernah berakhir.

Kita boleh belajar pada apa-apa usia dan yang penting ialah kemahuan untuk belajar serta kesediaan untuk meneruskan kemahiran yang kita ada,” katanya.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha