ARTIKEL

Usah terlalu taasub hadapi PRN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BAYANGAN untuk rakyat negeri ini menunaikan tanggungjawab ‘memilih’ nampaknya semakin jelas. Ramai pihak mula mencongak, kira-kira ‘hari besar’ itu mungkin jatuh pada bulan September atau Oktober. Bahkan ada yang beranggapan, pelaksanaan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tidak wajar ditangguhkan lagi setelah Dun Sarawak mencapai tempoh matang, pada 7 Jun lalu.

Bukan menidakkan isu keselamatan, namun inilah realitinya. Lebih-lebih lagi selepas pembatalan enam Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu seperti diberitahu oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semasa sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Dikuatkan lagi dengan tindakan kerajaan yang tidak berhasrat untuk  menasihati Yang di-Pertuan Agong agar meneruskan Proklamasi Darurat selepas ia tamat 1 Ogos depan.

Maka, tidak salah lagi bahawa pelaksanaan PRN-12 akan diadakan dalam masa terdekat. Cuma yang masih rahsia adalah tarikh sebenarnya… belum dinoktahkan. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini bagaimanapun menegaskan, terdapat tiga perkara penting yang perlu diambil kira jika pilihan raya terpaksa diadakan.

Ini kerana, Kerajaan Sarawak tidak mahu keadaan di Sabah (semasa PRN tahun lalu) berulang di Sarawak (penularan Covid-19). “Terpulang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk merangka strategi sekiranya PRN-12 diadakan.

“Persoalannya, adakah SPR telah siap menyediakan SOP? “Kita hanya tunggu keputusan mereka… tengoklah dalam satu atau dua minggu lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Perdagangan dan Industri Orang Ulu (OUCCI) di Kuching.

Tegasnya, pelaksanaan PRN12 harus dilaksanakan dalam suasana kondusif, yakni terdapat penambahbaikan dalam situasi pandemik Covid-19 di Sarawak. Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menambah, sebagai kerajaan sedia ada, pihaknya memerlukan mandat baharu untuk melangkah lebih jauh dalam merangka pembangunan Bumi Kenyalang.

Setakat ini, itulah yang dapat diperjelaskan untuk menenangkan situasi di kedai kopi sehari dua ini. Macam-macam yang didengar dan sebagai rakyat, mereka pasti teruja menunggu kata putus… mungkin ramai yang tidak sabar untuk memangkah kertas undi.

Parti mana akan meneraju Kerajaan Sarawak selepas ini? Mereka yang bersama parti pemerintah, bicaranya lain… penyokong pembangkang pun begitu. Namun apa yang menarik, masing-masing melihat isu keselamatan sebagai keutamaan.

Tidak bermaksud darurat harus disambung atau dikhususkan kepada Sarawak misalnya selepas ini – dalam makna lain tidak perlu menangguhkan PRN-12. Tetapi, jika PRN-12 diadakan harus dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan tanpa kompromi.

Setiap proses pilihan raya mesti ada SOPnya masing-masing yang perlu dikuatkuasakan dengan integriti dan tanpa gagal. Dalam hal ini juga, rakyat harus sentiasa dididik agar tidak terlalu taasub. Kerana, ketaasuban dikhuatiri mengundang ketidakpatuhan terhadap peraturan baharu pilihan raya atau SOP.

Ingat, suasana PRN-12 dijangka sangat berbeza dengan pilihan raya sebelum ini. Ingat, Covid-19 masih berada di dalam komuniti. Ingat, berpolitiklah dengan cara yang matang tidak kira sama ada kita di blok pemerintah atau kem pembangkang.

Sekali gus, membolehkan kerajaan pemerintah yang baharu dibentuk dalam suasana yang aman dan damai. Kita tidak mahu seperti peribahasa ayam menang, kampung tergadai. Betul, keutamaan untuk memutusan rantaian penularan Covid-19 masih menjadi perkara nombor satu.

Mengimbau PRN-11 yang berlangsung pada 7 Mei 2016, Barisan Nasional (BN) ketika itu dipimpin Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem memenangi 72 kerusi. Sementara 10 lagi kerusi menjadi milik Pakatan Harapan (PH). Ini bermakna, PRN-12 kelak pastinya menyaksikan banyak perubahan misalnya di pihak parti pemerintah sendiri yang menggunakan identiti baharu iaitu GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Begitu juga dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh yang dijangka menjadi saingan utama. Bagaimanapun, usaha keras GPS setelah beberapa tahun mengemudi Sarawak diyakini mampu memenangi hati rakyat.

BERITA LAIN

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

BERITA TERBARU

Gagal Bayar Denda RM10,000, Dua Individu Dipenjara

BAU: Dua individu dihantar ke Penjara Puncak Borneo selepas gagal membayar denda RM10,000 setiap seorang yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bau atas kesalahan berkaitan transaksi kewangan,