Usaha bebas merokok: AirAsia menerima pensijilan Blue Ribbon Beyond

SEPANG: AirAsia telah menerima dua pensijilan utama Blue Ribbon dari Kementerian Kesihatan Malaysia, sebagai pengiktirafan terhadap usaha syarikat tersebut untuk menggalakkan dan memperkasakan Allstars dan para tetamu dalam mewujudkan persekitaran yang bebas asap rokok dan membantu mereka untuk berhenti merokok.

AirAsia menerima dua pengiktirafan iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang Blue Ribbon yang dibentangkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes sebagai individu yang mengetuai persekitaran bebas asap rokok di AirAsia dan pensijilan Blue Ribbon Beyond yang diberikan kepada ibu pejabat global AirAsia, RedQ sebagai sebuah bangunan 100% bebas asap rokok.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini telah menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang Blue Ribbon kepada Tan Sri Tony Fernandes di RedQ, manakala Pensijilan Blue Ribbon akan diterima dalam acara yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan pada 22 November 2019.

Antara usaha-usaha bebas merokok yang dilakukan oleh AirAsia adalah dengan menghentikan segera penjualan rokok bebas cukai di atas semua penerbangan dan laman web, dan juga perlaksanaan persekitaran yang bebas asap rokok di seluruh 120 pejabat dan stesen di seluruh rantau Asia Pasifik. AirAsia juga menyediakan program bantuan kesihatan untuk menyokong para Allstars untuk berhenti merokok.

Pensijilan itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes oleh Menteri Kesihatan Malaysia Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di ibu pejabat global AirAsia, RedQ di Sepang hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, “Akses kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan selalu menjadi impian saya, tetapi untuk mencapai impian tersebut, kita harus mengambil langkah untuk menjaga diri kita sendiri. Ini termasuk mengekalkan perilaku yang sihat dan mengawal diri dari tabiat seperti merokok dan menggunakan vape.

Saya sangat berbangga menerima kedua-dua anugerah iaitu Anugerah Pencapaian Cemerlang Blue Ribbon  dan Blue Ribbon Beyond seiring dengan menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan dan berharap untuk melaksanakan segala kemampuan yang kami peroleh untuk membantu para Allstars dan tetamu kami untuk kehidupan yang lebih sihat dan lebih bahagia.

Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, “Kami gembira kerana AirAsia telah mengambil langkah untuk menjalankan inisiatif penting ini dan mengucapkan tahniah kepada mereka kerana diberikan pensijilan Blue Ribbon Beyond ini. Usaha-usaha seperti ini akan membolehkan kita mendidik orang ramai tentang manfaat kesihatan terhadap persekitaran yang bebas asap rokok. Saya juga menggalakkan organisasi-organisasi yang lain untuk menyertai AirAsia dalam usaha seperti ini bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat untuk Malaysia.”

Rakan kerjasama Kementerian Kesihatan, termasuk badan profesional dan organisasi swasta di bawah program mQuit, juga turut hadir di RedQ pada hari ini untuk menyediakan kepada para AirAsia Allstars  perkhidmatan klinik berhenti merokok, kaunseling dan rujukan, pemeriksaan pergigian dan juga bahan bermaklumat.

Kempen Blue Ribbon secara rasminya diperkenalkan pada tahun 2012 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan mengiktiraf serta menghargai sumbangan pihak individu, kumpulan, organisasi dan agensi-agensi kerajaan yang telah menyumbang kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau.

Kempen ini dilaksanakan oleh Badan Berkanun Kementerian Kesihatan Malaysia, MySihat. Anugerah Pencapaian Cemerlang Blue Ribbon dianugerahkan kepada individu yang telah membuat sumbangan penting dalam memulakan dan menyumbang kepada persekitaran bebas asap rokok. Pensijilan Blue Ribbon Beyond diberikan kepada organisasi yang berada di bawah bidang yang diwartakan bebas merokok, dan yang memenuhi serta melebihi jangkaan keperluan kempen Kementerian Kesihatan Malaysia.

Suara Sarawak