KUCHING: Usaha mencari seorang lelaki yang terjatuh dari Jambatan Tun Salahuddin di Petra Jaya semalam diteruskan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Sarawak, PGKB 1 Alimaddia Bukri, berkata mangsa, Haffiz Abdullah Sapwan, 34, dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Sarawak kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Pasukan penyelamat memulakan pencarian seawal jam 6.30 pagi dengan penggunaan bot penyelamat serta teknik pencarian permukaan air.
“Usaha pencarian melibatkan kawasan seluas satu kilometer radius dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alimaddia menambah, pelbagai agensi turut membantu, antaranya Polis Marin Wilayah 5, Polis Bintawa, Unit Dron PDRM, LSS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Sarawak Coast Guard.
Beliau juga menyeru orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian atau yang mungkin menyaksikan insiden berkenaan agar tampil menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu pencarian.
Setakat ini, tiada petunjuk kukuh ditemui dan pencarian masih diteruskan.



