BIASANYA apabila menonton filem aksi, kita amat teruja dengan pelakon mengendalikan senjata terutama melibatkan adegan tembak-menembak.
Bahkan, apabila menyaksikan anggota keselamatan yang dilengkapi senjata seperti pistol dan senapang, pasti kita terfikir; bagaimana rasanya dapat menggunakan senjata untuk menembak.
Namun, apabila kita sendiri diberi peluang menembak menggunakan pistol sebenar, ia sangat berbeza.
Nampak mudah, tetapi sebenarnya memerlukan latihan untuk menembak sasaran dengan tepat, malah fizikal dan mental harus cekal serta membuat persiapan rapi.
PELUANG MENEMBAK
Pengalaman pertama bagi saya apabila berpeluang menembak menggunakan pistol sebenar semasa menyertai Pertandingan Menembak Bersama Media sempena Hari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) kesembilan di Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, baru-baru ini.
Seramai 15 pengamal media turut menyertai pertandingan tersebut.
Secara jujurnya melepaskan beberapa das tembakan, sukar digambarkan perasaan ketika itu – bercampur takut, teruja dan terkejut.
Kami diberi masa menghabiskan peluru dengan menembak sasaran sehingga wisel dibunyikan.
Tetapi untuk menghabiskan satu pusingan peluru menggunakan pistol jenis Glock terasa lama.
Setiap kali tembakan dilepaskan, jantung saya berdegup laju dan tangan menggeletar seperti yang saya bayangkan dan lihat di kaca televisyen.
Menembak bukan semudah yang disangkakan, justeru pengendalian senjata memerlukan latihan dan tahap kesediaan yang tinggi.
PENGALAMAN
Bagi mereka yang pertama kali, pengalaman itu pasti tidak dapat dilupakan.
Bahkan, selepas tamat sesi menembak, jantung saya masih berdegup kencang.
Sekadar berkongsi pengalaman, saya rasa bertuah apabila dapat menyertai pertandingan tersebut.
Walaupun jumlah mata yang diperoleh menerusi tembakan tidak begitu memuaskan, namun ia merupakan pengalaman cukup berharga bagi saya.
Kesimpulannya, setiap perkara yang kita lakukan, ia hendaklah disusuli dengan usaha dan persiapan rapi serta teliti.
Dalam mencapai sesebuah kejayaan, perancangan yang dibuat harus dilaksanakan mengikut pelan, agar ia dapat berjalan lancar.
Begitu juga dengan menembak, latihan pasti memberi hasil yang sempurna.