KOTA SAMARAHAN: Usaha mendokumentasikan pakaian tradisional masyarakat Bidayuh Singai diperkasa menerusi cadangan penerbitan buku yang bakal menjadi bahan rujukan penting mengenai warisan dan identiti komuniti berkenaan.
Cadangan itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Persatuan Pewaris Adat Asal Singai kepada Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), Datuk Dr. Neilson Ilan Mersat, di pejabat MAIS, di sini, semalam.

Buku yang dicadangkan bertajuk Pikokas Asal Boris Duoh Sigar Bisingai itu akan memberi tumpuan kepada pakaian tradisional masyarakat Bidayuh Singai serta pengetahuan berkaitan warisan tersebut.
Menurut Dr. Neilson, usaha pendokumentasian berkenaan penting bagi memperkayakan khazanah ilmu mengenai pakaian tradisional di Sarawak selain memastikan pengetahuan berkaitan dapat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, inisiatif itu turut membuka ruang kerjasama antara MAIS dan Persatuan Pewaris Adat Asal Singai dalam mendokumentasikan pengetahuan, budaya, tradisi, serta sejarah masyarakat Bidayuh Singai.
“Usaha ini penting supaya warisan yang mempunyai nilai sejarah dan menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Bidayuh Singai dapat terus dipelihara serta dimanfaatkan sebagai bahan rujukan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kunjungan itu diketuai Pengerusi Persatuan Pewaris Adat Asal Singai, Edid Ngupel, bersama Christi Lemon, Samson Kidau, Dzrandidi Desson, dan Jenny Tama.
Rombongan turut berkesempatan melawat Galeri Etnik Bidayuh MAIS sebagai sebahagian daripada kunjungan berkenaan.





