ARTIKEL

Francis menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama strategik antara UNIMAS dan Bioeconomy Corporation

Usaha melahirkan 500,000 tenaga mahir menjelang 2030 diteruskan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak menumpukan usaha melahirkan bakat inovatif serta meneroka potensi sumber biologi tempatan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, bioekonomi merupakan gabungan antara inovasi, kelestarian dan peluang ekonomi yang mampu menjadi pemangkin utama kepada ekonomi berasaskan pengetahuan di negeri ini.

“Matlamat kementerian ialah membangunkan tenaga kerja yang berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan.
Kita mahu melihat minda cemerlang Sarawak bukan sahaja menulis kertas penyelidikan, tetapi menghasilkan produk sebenar yang mampu menembusi pasaran,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri MEITD, Datuk Francis Harden Hollis, semasa Majlis Khas National Bioeconomy Showcase (NBiOSHOWCASE) yang diadakan bersempena International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS25) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Ujarnya, bioekonomi bukan sekadar bidang penyelidikan, tetapi juga penerapan ilmu dan inovasi secara kreatif bagi menghasilkan penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada masyarakat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut mengiktiraf peranan Bioeconomy Corporation sebagai rakan strategik utama dalam memperkukuh inovasi serta pengkomersialan industri berasaskan bio di Malaysia, termasuk di Sarawak.

“Setakat ini, sebanyak 22 syarikat berstatus BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) di Sarawak telah menjana pelaburan diluluskan berjumlah kira-kira RM574 juta dalam sektor bio berasaskan sumber semula jadi.
Saya yakin angka ini akan terus meningkat hasil daripada jaringan kerjasama dan aktiviti produktif yang terjalin sepanjang penganjuran NBiOSHOWCASE,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik kerjasama strategik antara Bioeconomy Corporation dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang dimeterai hari ini, melibatkan dua bidang utama iaitu pembangunan dan pengkomersialan perubatan regeneratif serta bahan mampan, dan pembangunan bakat dalam bidang bioteknologi.

Roland menegaskan usaha tersebut sejajar dengan agenda pembangunan bakat negeri, khususnya untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.

“Kita tidak mahu sekadar melahirkan graduan, tetapi mahu membentuk penyelesai masalah, pencipta dan usahawan yang mampu memperkukuh ekosistem bioekonomi Sarawak,” jelasnya.

Beliau turut menekankan potensi besar sumber bio yang masih belum diterokai secara meluas, antaranya sagu, nipah dan lada hitam Sarawak.

“Sagu boleh diproses menjadi bahan farmaseutikal, kosmetik, kertas serta bioplastik, manakala hasil sampingannya boleh digunakan untuk makanan haiwan, baja dan tenaga bio.
Daun dan nira pokok nipah pula berpotensi dijadikan bahan kraf, pemanis semula jadi dan pembungkus biodegradasi, manakala lada hitam Sarawak boleh dikembangkan kepada produk kosmetik, herba dan suplemen kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan berasaskan inovasi dan penggunaan sumber tempatan ini selaras dengan Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak 2030, yang menekankan pertanian mampan, ekonomi kitaran dan kesejahteraan sosial yang inklusif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU