BALINGIAN: Usaha berterusan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Mukah dalam menangani isu penyalahgunaan dadah di daerah ini perlu dipuji.
ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, gejala dadah merupakan satu ancaman serius dan perlu diambil berat oleh masyarakat kita.
“Dengan adanya usaha berterusan PEMADAM dalam melaksanakan program kesedaran, pendidikan dan pencegahan, ia dapat membantu kita dalam menangani isu dadah di kawasan ini.
“Pendekatan mendekati masyarakat melalui program komuniti menjadi satu langkah yang berkesan dalam menyampaikan mesej kesedaran, khususnya kepada golongan belia dan masyarakat di kawasan Balingian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Peringkat Daerah Mukah, di Pejabat Daerah Kecil Balingian, di sini, semalam.


Tambahnya, semua pihak mempunyai tanggungjawab bersama dalam memastikan kawasan Mukah kekal aman, sejahtera dan bebas daripada gejala dadah.
Justeru, seluruh masyarakat termasuk ibu bapa, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan pertubuhan tempatan perlu terus bekerjasama dan menyokong usaha-usaha pencegahan penyalahgunaan dadah ini.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang dan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,” tambahnya.
Terdahulu, Yakub turut menyempurnakan Program Pengagihan Bubur Lambuk sempena Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Program Pengagihan Nasi Beriani di sekitar Daerah Kecil Balingian.




