KUALA LUMPUR: Langkah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Portal Fraud Kebangsaan membuahkan tanda-tanda awal kejayaan dalam memerangi peningkatan kes penipuan yang dilaporkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata pihaknya mendapati beberapa penambahbaikan serta penurunan kes yang dilaporkan, susulan peningkatan kesedaran orang ramai akan risiko yang berkaitan dengan penipuan dalam talian.
Usaha itu, yang bukan sahaja melibatkan bank pusat malah juga bank komersial dan pihak berkuasa berkaitan, adalah sebahagian daripada tindak balas yang semakin bertambah dan terselaras dengan landskap penipuan yang semakin sofistikated, katanya.
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk ‘Kesejahteraan Kewangan Inklusif: Peranan Keupayaan Kewangan dan Kewangan Sosial’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Acara itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan.
–Bernama



