Usaha Tujunokala perlu dicontohi semua pihak

MUKAH: “Setiap kampung perlu mencontohi usaha dan komitmen Kelab Sukan dan Rekreasi Tellian Dagen Daya (Tujunokala) yang terus berusaha menjayakan Perlumbaan Permainan Tradisional Bidar Lukut dan terus aktif bersama komuniti,” jelas Adun Tellian Yusibnosh Balo.

Katanya setiap kampung sekurang-kurangnya perlu mewujudkan pertubuhan atau kelab yang berfungsi sebagaimana Tujunokala dan mencontohi usaha-usaha mereka membantu masyarakat.

“Kita berterima kasih kepada Tujunokala kerana telah berjaya menganjurkan Perlumbaan Bidar 8 Salui Lukut Piala GPS di Litar Alan Rossi Kampung Tellian Ulu hari ini.

“Tujunokala ini terdiri daripada generasi pelapis muda yang terus aktif dalam menjayakan aktiviti program gotong royong serta membantu penduduk kampung yang memerlukan sama ada kematian, dan keramaian yang ada di kampung ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya apabila adanya Tujunokala ini, mereka cuba membangunkan sukan tradisional Melanau ini, lalu kampung lain turut berminat sama menganjurkan dan menjemput Tujunokala bagi menyertai serta menganjurkan sukan ini.

Yusibnosh Balo bersama dengan kelab Tujunokala

“Dan secara tidak langsung Sukan ini terus berkembang dari semasa ke semasa sebagaimana Tujunokala pencetus dalam membangunkan kembali permainan ini.

“Difahamkan juga Tujunokala kini mempunyai kepakaran dan mereka sering dijemput untuk mengendalikan sukan tradisional ini di kampung-kampung lain,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau turut berterima kasih atas usaha dan dedikasi kepimpinan Tujunokala yang menguruskan persatuan dengan baik walaupun pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi.

“Setiap rintangan dalam menjayakan usaha murni ini memang ada, dan menjadi harapan kita agar generasi pelapis terutama belia ini berterusan menyumbangkan tenaga kepada masyarakat sebagaimana bekerjasama dalam menyediakan tapak untuk perlumbaan berkenaan.,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan perbezaan jelas generasi terdahulu terutamanya kanak-kanak sering mengisi masa lapang dengan permainan bidar lukut itu.

“Dahulu sewaktu kita masih kecil, memang menjadi permainan utama kita menggunakan dahan dan daun layar lukut atau menggunakan kertas plastik, pada bulan Disember atau sering berlari bermain permainan ini di dalam padang suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Selain itu, Yusibnosh turut berharap agar Tujunokala terus menjadi contoh kepada kelab lain di Mukah dan terus aktif secara langsung dan tidak langsung bersama membantu komuniti setempat.

Suara Sarawak