KUCHING: Usahawan tani tempatan kekal sebagai tunjang utama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan di Sarawak, kata Setiausaha Persekutuan Sarawak, Datuk Ahmad Nazri Mohd Hassan.
Beliau berkata kepentingan sekuriti makanan harus dipertahankan agar rakyat tidak berdepan kekurangan bekalan makanan asas.
“Kita tidak mahu rakyat menanggung derita akibat kekurangan bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Semarak Kasih Aidilfitri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian persekutuan (FAMA) Sarawak, di Dewan Seri Mahligai, Jalan Crookshank, di sini, hari ini.
Dalam hal berkaitan, Ahmad turut menekankan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu usahawan tani tempatan dalam meningkatkan produktiviti negeri.
“Banyak subsidi yang bertujuan mengurangkan beban kewangan berupaya membantu golongan usahawan terus berkembang dalam persekitaran ekonomi yang mencabar,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah FAMA Sarawak, Norsalawaty Abdul Kadir turut menyifatkan majlis berkenaan bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi wadah bagi memperkukuh kerjasama antara pelbagai pemegang taruh dalam memajukan sektor pertanian dan keusahawanan.
Majlis tersebut turut meraikan kehadiran 10 kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Baiturrahmah sebagai lambang kasih sayang dan keterangkuman dalam suasana sambutan yang penuh makna.






