KUCHING: Tujuh usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Sarawak menerima Geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dalam usaha memperkukuh keusahawanan dalam kalangan bekas anggota tentera di negeri ini.
Geran ini disampaikan pada majlis khas yang diadakan hari ini, sebagai sebahagian daripada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) yang telah membantu seramai 232 veteran dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.176 juta sejak dilancarkan pada 2023.
Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), Datuk Dr Roziah Omar berkata bantuan geran ini bertujuan memberi dorongan dan sokongan kepada veteran untuk menceburi bidang keusahawanan, terutama di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perhatian.
“Pelaksanaan program ini selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini,” katanya pada majlis penyerahan geran berkenaan, hari ini.
Menurut Dr Roziah, pelan tersebut merupakan usaha strategik Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan kemahiran, memperluas peluang pekerjaan dan menggalakkan keusahawanan berimpak tinggi demi memastikan kesejahteraan hidup veteran ATM.

Pelan ini katanya, berperanan sebagai peta hala tuju jangka panjang selama 10 tahun untuk membangunkan golongan bakal pesara dan veteran sebagai penggerak ekonomi serta tenaga kerja berkualiti tinggi, seiring matlamat Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Program ini turut memberi fokus kepada latihan keusahawanan, bimbingan pemasaran digital oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) serta lawatan industri bersama agensi kerajaan negeri Sarawak bagi memperkukuh kreativiti dan daya saing perniagaan veteran,” katanya.
Dr Roziah menyeru agar veteran ATM merebut peluang dalam sektor bernilai tinggi seperti teknologi digital, tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden dan industri elektrik serta elektronik sejajar dengan agenda pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi (HGHV) yang digariskan dalam RMK13.
Melalui kerjasama antara PERHEBAT, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, agensi kerajaan dan sektor swasta, pelbagai peluang baharu sedang diteroka bagi memastikan tiada veteran tercicir daripada akses kepada skim bantuan keusahawanan yang disediakan kerajaan MADANI dan kerajaan negeri Sarawak.
“Kerjasama rentas kementerian ini bukan sahaja memperkasa ekonomi veteran, malah memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melihat keusahawanan sebagai kerjaya masa depan,” ujar beliau.







