Dunia digital hari ini bergerak dengan pantas tanpa pernah menunggu usia. Ketika teknologi terus berkembang, golongan warga emas tidak sepatutnya terus dibiarkan terpinggir.
Sebaliknya, mereka perlu diberikan ruang, peluang dan bimbingan yang sewajarnya untuk memahami perubahan ini, bukan untuk mengejar segala-galanya, tetapi supaya mereka kekal berdaya saing dan tidak terpencil daripada kehidupan moden yang semakin bergantung pada platform digital.
Pada masa kini, telefon pintar bukan lagi sekadar alat perhubungan asas, malah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan harian.
Melalui satu peranti kecil dalam genggaman, seseorang boleh berhubung dengan ahli keluarga, mendapatkan maklumat semasa, melakukan pelbagai urusan perbankan dan pentadbiran dalam talian serta meneroka teknologi baharu, termasuk aplikasi kecerdasan buatan (AI).




Namun begitu, bagi sebahagian golongan warga emas, kemudahan dan kecanggihan teknologi ini tidak datang tanpa cabaran serta kebimbangan.
Ada dalam kalangan mereka yang berasa bimbang atau takut tersalah menekan butang.
Ada pula yang tidak pasti sama ada sesuatu maklumat yang diterima itu sahih atau palsu.
Tidak kurang juga yang lebih selesa bergantung pada anak atau cucu dan meminta bantuan mereka setiap kali berhadapan dengan fungsi peranti yang belum pernah digunakan.
Persoalan utama yang timbul ialah bagaimana untuk memastikan golongan ini terus mempunyai ruang untuk belajar dan menguasai kemahiran asas apabila teknologi berkembang dengan begitu pesat?
Justeru, bagi Kelab Digital Warga Emas Kuching (DIWARMAS), jawapan kepada persoalan ini terletak pada pendekatan pendidikan yang dekat dengan kehidupan harian dan mesra warga emas.
Menerusi pelaksanaan Program Literasi Digital Warga Emas bersama Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta pelibatan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching, usaha murni ini membawa latihan digital terus ke tengah-tengah komuniti.
Menurut penyelaras program, Kalthoum Adni, inisiatif ini bukan sekadar memperkenalkan fungsi asas telefon pintar, sebaliknya membuka ruang kepada para peserta untuk memahami penggunaan teknologi secara menyeluruh, termasuk aspek keselamatan siber, pengesahan maklumat sahih, etika digital, pengimbasan kod QR serta penggunaan aplikasi harian dan perkhidmatan dalam talian.


Bermula Dengan Keberanian Untuk Mencuba
“Bagi individu yang kurang biasa menggunakan peranti pintar, kesilapan kecil pada skrin telefon boleh menimbulkan rasa sangsi dan ragu-ragu. Disebabkan itulah, suasana pembelajaran yang kondusif menjadi keutamaan dalam setiap sesi yang dijalankan.
“Dalam program ini, para peserta tidak diletakkan di bawah tekanan untuk mengetahui atau menguasai semua perkara dengan segera.
“Sebaliknya, mereka diberikan masa dan ruang secukupnya untuk mencuba, bertanya soalan serta mengulangi langkah-langkah asas sehingga benar-benar faham dan yakin,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Selain penggunaan fungsi telefon, ujarnya, aspek keselamatan siber turut diberikan penekanan serius memandangkan peningkatan penggunaan perkhidmatan digital turut membawa risiko penipuan dalam talian.
Selain itu, jelasnya, para peserta didedahkan kepada kepentingan menyemak kesahihan maklumat, mengenal pasti pautan yang mencurigakan serta tidak mudah mempercayai sebarang kandungan yang diterima sebelum berkongsi maklumat atau melakukan sebarang transaksi.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh ini menjadikan penggunaan teknologi dirasakan lebih selamat, relevan dan dekat dengan keperluan harian mereka.
Pendedahan Awal di PAWE Kuching
“Program literasi digital ini bermula di PAWE Kuching yang terletak di Kampung Malaysia Jaya pada 15 Jun lalu dengan penyertaan seramai 26 ahli.
“Antara pengisian yang paling menarik perhatian para peserta dalam sesi tersebut ialah modul pengenalan kepada teknologi kecerdasan buatan (AI). Bagi sesetengah peserta, pengalaman menghasilkan imej digital menggunakan arahan kepada AI merupakan sesuatu yang dialami buat julung-julung kalinya.
“Mereka bukan sekadar melihat bagaimana AI berfungsi, tetapi turut diberikan peluang untuk menghasilkan karya berdasarkan idea dan kreativiti sendiri,” jelasnya.
Pengalaman tersebut memperlihatkan satu transformasi kecil tetapi amat bermakna, iaitu perubahan daripada sekadar pengguna pasif kepada individu yang mula menyedari bahawa teknologi boleh dijadikan medium untuk berkarya.
Mengulas mengenai pelibatan tersebut, ahli PAWE Kuching, Sharifah Zaarah Tunku Fauzi, 66, menjelaskan pendedahan sedemikian memberikan ruang yang bermakna kepada warga emas untuk memahami arus perubahan teknologi di sekeliling mereka.
“Pendedahan seperti ini memberikan peluang kepada kami sebagai warga emas untuk memahami perubahan teknologi yang berlaku di sekeliling kami. Ia membuktikan usia langsung tidak menjadi penghalang untuk seseorang mempelajari sesuatu yang baharu,” kata Sharifah Zaarah.
Pembelajaran Dalam Suasana Santai
Siri program ini diteruskan pada 8 Julai lalu di PAWE Sri Darul Hana, Petra Jaya, dengan penyertaan seramai 16 peserta.
Sesi pembelajaran di sini berlangsung dalam suasana yang santai dan interaktif. Para peserta kelihatan tidak kekok untuk bertanya, mencuba pelbagai fungsi baharu dan saling membantu sekiranya rakan di sebelah menghadapi kesukaran.
Walaupun ada kalanya hasil penjanaan imej atau fungsi aplikasi tidak seperti yang diharapkan pada percubaan pertama, keadaan itu sedikit pun tidak melunturkan semangat mereka untuk mencuba semula.
Pengerusi PAWE Sri Darul Hana, Othman Wen, 74, menyambut baik inisiatif berkenaan dan menganggapnya sebagai platform yang baik untuk warga emas mendekati dunia moden.
“Program seperti ini memberikan pengalaman yang sangat baik kepada ahli PAWE dan membuka peluang kepada mereka untuk mengenali perkembangan teknologi dengan lebih dekat.
“Pendedahan sebegini wajar diteruskan agar warga emas sentiasa mempunyai peluang untuk mengikuti perubahan semasa,” ujar Othman.
Di sini, pembelajaran tidak lagi terikat pada proses formal dalam bilik darjah. Sebaliknya, pembelajaran menjadi pengalaman sosial yang positif apabila para peserta berkongsi persoalan, saling membimbing dan belajar dalam suasana yang terbuka serta saling menyokong.
PAWE Lundu Dan Model Bimbingan Rakan Sebaya
Langkah memperkasakan kemahiran digital terus diperluas apabila program ini diteruskan di PAWE Lundu pada 19 Ogos lalu. Sesi ini disertai seramai 22 orang, terdiri daripada 15 peserta PAWE Lundu serta tujuh wakil DIWARMAS.
Di PAWE Lundu, peranan ahli DIWARMAS semakin jelas dan terserlah. Ahli DIWARMAS yang sebelum ini mempelajari kemahiran digital menerusi sesi latihan kelab kini mengambil tempat di sebelah peserta baharu untuk membimbing mereka dan menunjukkan cara menggunakan teknologi secara bersemuka.
Konsep bimbingan rakan sebaya ini menjadikan latihan digital lebih daripada sekadar perkongsian kemahiran teknikal. Ia membuktikan ilmu yang diperoleh seseorang boleh dikongsikan semula dan dimanfaatkan oleh komuniti setempat.
Dalam pada itu, Pengerusi PAWE Lundu, Annuar Lay, 68, menegaskan pendedahan tentang keselamatan digital penting dalam meningkatkan kesedaran para peserta.
“Pendedahan mengenai keselamatan digital memberikan kesedaran bahawa penggunaan teknologi memerlukan sikap berhati-hati dan bijak,” jelas Annuar.
Sementara itu, ahli PAWE Lundu, Dyg Jemaah Awang Ibrahim, 72, menyifatkan pengalaman meneroka teknologi AI sebagai sesuatu yang membuka minda.
“Pengenalan kepada teknologi baharu, termasuk AI, merupakan pengalaman yang membuka peluang kepada warga emas untuk mengenali sesuatu yang sebelum ini mungkin amat asing bagi kami,” kata Dyg Jemaah.
Dahulu Belajar, Kini Pembimbing Komuniti
Kisah inspirasi perubahan ini dapat dilihat menerusi perjalanan ahli DIWARMAS, Abdul Hadi Abdullah, 66. Beliau tidak bermula sebagai tenaga pengajar atau pakar teknologi.
Abdul Hadi sendiri melalui proses pembelajaran asas bersama DIWARMAS sejak kira-kira enam bulan lalu.
Beliau bermula dengan mengenali aplikasi, mencuba fungsi baharu dan membina kemahiran diri sedikit demi sedikit. Hari ini, peranannya berubah apabila beliau kini menjadi pembimbing kepada peserta lain.
Antara tugas beliau ialah membimbing rakan sebaya menggunakan aplikasi AI serta membantu mereka menghasilkan imej digital.
Bagi Abdul Hadi, pengalaman ini memberikan kepuasan tersendiri kerana beliau memahami dengan mendalam perasaan seseorang yang baharu bertatih dalam penggunaan teknologi.
“Apa-apa yang mudah bagi seseorang mungkin mengambil masa untuk difahami oleh orang lain. Sebab itu saya memilih untuk membimbing mereka langkah demi langkah dan membiarkan peserta mencuba sendiri.
“Apabila seseorang peserta akhirnya berjaya menghasilkan imej yang diingini, kegembiraan itu bukan sahaja milik peserta tersebut, tetapi turut memberikan kepuasan kepada saya kerana saya pernah berada di tempat mereka,” jelas Abdul Hadi.
Pandangan sama turut dikongsi Normah Ahmad, 62, yang juga ahli DIWARMAS. Bagi beliau, tindakan berkongsi kemahiran digital merupakan satu bentuk sumbangan kepada masyarakat.
“Ilmu yang diperoleh akan menjadi lebih bermakna apabila dapat digunakan untuk membantu orang lain dalam komuniti,” kata Normah.
Perjalanan Abdul Hadi dan Normah membuktikan berlakunya transformasi peranan yang signifikan, iaitu warga emas tidak semestinya sentiasa berada pada kedudukan sebagai penerima bantuan.
Dengan adanya peluang, persekitaran yang sesuai serta latihan yang tepat, mereka berupaya memainkan peranan aktif sebagai pembimbing rakan sebaya
Nilai Sebenar Di Sebalik Kemahiran Digital
Melalui siri program di pelbagai lokasi PAWE ini, literasi digital memperoleh makna yang jauh lebih mendalam.
Keupayaan mengendalikan telefon pintar dan aplikasi digital sememangnya membantu warga emas berhubung dengan ahli keluarga, mendapatkan maklumat serta mengurus pelbagai urusan harian secara berdikari.
Pengetahuan berkaitan keselamatan siber pula membolehkan mereka membuat pertimbangan dengan lebih berhati-hati.
Namun begitu, impak yang paling berharga mungkin terletak pada perubahan persepsi dan peningkatan keyakinan terhadap potensi diri.
Apabila sesuatu perkara yang pada mulanya dianggap sukar atau mustahil akhirnya mampu dikuasai, pengalaman itu menyuntik rasa bangga dan keyakinan baharu.
Apabila kemahiran tersebut pula dikongsikan untuk membimbing orang lain, manfaatnya berkembang daripada pencapaian individu kepada kebaikan bersama seluruh komuniti.
Perkembangan positif ini selari dengan peranan teras PAWE sebagai platform yang menyediakan ruang menyeluruh kepada warga emas untuk terus terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan, pembelajaran sepanjang hayat dan pembangunan potensi diri.
Membuka Ruang, Usia Bukan Ukuran
Pada hakikatnya, warga emas tidak dituntut untuk menguasai setiap aplikasi terbaharu atau mengikuti semua perkembangan gajet terkini di pasaran.
Perkara yang paling penting ialah mereka mempunyai akses yang mudah kepada pengetahuan digital yang berkaitan secara langsung dengan kehidupan harian, termasuk cara mengendalikan peranti, mendapatkan maklumat sahih, mengenal pasti risiko ancaman siber, menggunakan perkhidmatan dan melakukan transaksi dalam talian serta, jika sesuai, memanfaatkan keupayaan kecerdasan buatan (AI).
Proses pembelajaran bagi golongan ini perlu disampaikan menggunakan bahasa yang mudah, penerangan langkah demi langkah yang jelas serta dalam suasana mesra yang membolehkan mereka bebas bertanya tanpa berasa rendah diri.
Program Literasi Digital Warga Emas bersama PAWE ini merancang untuk meneruskan siri pendedahan ke beberapa PAWE lain di sekitar Kuching sebelum diperluas secara berperingkat ke bahagian lain di seluruh Sarawak.
Usaha berterusan ini bukan sahaja membuka pintu teknologi kepada lebih ramai warga emas, malah menyediakan ruang kepada ahli DIWARMAS yang berkemahiran untuk tampil berkongsi ilmu.
Mungkin suatu hari nanti, seseorang yang hari ini masih memerlukan bantuan untuk menggunakan fungsi baharu pada telefon pintarnya pula akan duduk di sebelah rakan lain dan menunjukkan cara menggunakannya, sebagaimana yang dibuktikan oleh Abdul Hadi dan Normah.
Proses ini sentiasa bermula dengan keinginan untuk belajar. Kemudian, lahirlah keberanian untuk mencuba tanpa rasa takut. Akhirnya, ilmu yang dipelajari dikongsikan semula kepada masyarakat dalam bentuk bimbingan dan perkongsian.
Daripada warga emas yang belajar, kini lahir warga emas yang mengajar. Itulah semangat sebenar yang dibawa menerusi literasi digital, bukan menjadikan usia sebagai ukuran kemampuan, tetapi menyediakan ruang agar warga emas terus berpeluang untuk belajar, berkarya dan menyumbang kepada masyarakat.
Dalam dunia yang melangkah pantas ke era digital, warga emas juga berhak untuk terus berjalan ke hadapan, bukan ketinggalan di belakang, tetapi sentiasa seiring dengan kita semua.



