ARTIKEL

Nyurak menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan Pentadbiran Bahagian Bintulu.

Utamakan integriti dalam tugas harian penjawat awam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Setiap kakitangan Pentadbiran Bahagian Bintulu diingatkan supaya sentiasa mengutamakan nilai integriti dalam melaksanakan tugas harian kerana ia merupakan asas penting dalam memastikan keberkesanan serta kredibiliti perkhidmatan awam.

Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti berkata, integriti perlu menjadi pegangan utama setiap penjawat awam tanpa mengira jawatan atau skop tugas kerana ia bukan sahaja mencerminkan keperibadian individu, malah imej organisasi secara keseluruhan.

“Setiap tugasan, sama ada besar atau kecil, perlu dilaksanakan dengan dedikasi, kejujuran dan rasa tanggungjawab. Amalan bekerja berorientasikan hasil serta semangat kerjasama dalam pasukan merupakan kunci untuk memastikan matlamat organisasi dapat dicapai dengan lebih berkesan,” katanya.

Nyurak menyampaikan sijil penghargaan kepada kakitangan Pentadbiran Bahagian Bintulu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Pentadbiran Bahagian Bintulu Tahun 2025 di Hotel Mega Miri, Sabtu malam.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pegawai dan kakitangan yang bekerja keras sepanjang tahun, termasuk mereka yang sanggup mengorbankan masa bersama keluarga pada hujung minggu demi kelancaran pelaksanaan program serta tugasan pejabat.

Nyurak turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran beberapa acara penting di Bintulu, antaranya sambutan Hari Malaysia yang menerima pujian daripada pelbagai pihak, selain perasmian Jambatan Tun Taib Mahmud dan Sarawak Agrofest, baru-baru ini, yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat.

Menurut beliau, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Majlis Makan Malam Pentadbiran Bahagian Bintulu turut dimeriahkan dengan penyampaian cenderahati kepada pegawai yang bersara wajib bagi tahun 2025 dan 2026, pegawai yang berpindah tempat bertugas, serta penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 10 penerima.

Sijil penghargaan turut diberikan kepada kakitangan yang berjaya memperoleh naib johan semasa Perbarisan Pentadbiran Bahagian Bintulu, tempat ketiga Anugerah AKPANS 2025 serta tempat kedua Anugerah Digital.

Sijil penghargaan turut disampaikan kepada Pejabat Daerah Tatau atas kejayaan memenangi Anugerah Agensi Terbaik dalam Pematuhan Kewangan berdasarkan Electronic Compliance Self Assessment, selain sumbangan bantuan kebajikan dan pendidikan kepada kakitangan yang layak.

Timbalan Residen Bahagian Bintulu, Abang Zainuddin Abang Turkey, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan serta Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu hadir sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU