KUCHING: Penubuhan sebuah televisyen sendiri di Sarawak memberi kelebihan kepada Kerajaan Sarawak sebagai negeri pertama berbuat demikian, kata Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Unimas Dr Mus Chairil Samani (gambar).
Menurutnya, Sarawak bakal mempunyai saluran televisyen sendiri untuk menyampaikan maklumat kepada penduduk mengenai pelan pembangunan yang sedang, telah dan akan dilaksanakan.
“Kedua, stesen ini akan memastikan kandungan negeri sentiasa mendapat keutamaan.
“Ketiga, media untuk tenaga kreatif dalam kalangan anak muda negeri ini melibatkan diri dalam membangunkan kandungan yang beridentiti tempatan,” katanya ketika dihubungi oleh Suara Sarawak kelmarin.
Mus Chairil yang juga pakar media dan komunikasi turut mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sarawak kerana berjaya mendapat lesen untuk mengendalikan stesen televisyen sendiri.
“Ini kerana Sarawak menjadi negeri pertama memiliki stesen televisyen tersendiri dan sebelum ini, pengendalinya ialah Kerajaan Persekutuan atau syarikat swasta.
“Malah, Sarawak sebelum ini menjadi negeri pertama yang mempunyai radio komunitinya tersendiri iaitu Radio Bario yang bersiaran menggunakan gelombang 94.5 Mhz FM,” jelasnya.
Tegasnya, sebagai sebuah organisasi penyiaran baharu, TV berkenaan dijangka memanfaatkan teknologi digital terkini bagi membolehkan siarannya dipancar oleh MyTV dan Astro ke segenap pelosok negara.
“Posisi sebegini memberi kelebihan kepada Sarawak dengan mengambil iktibar daripada pengalaman stesen televisyen swasta dan kerajaan sebelum ini.
“Saiz Sarawak yang menghampiri keluasan Semenanjung Malaysia dengan taburan penduduk di 12 bahagian menjadikan saluran telekomunikasi amat penting,” ujarnya.
Beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak memerlukan saluran khusus untuk menyalurkan maklumat kepada seluruh warganya.
Tambah Chairil, kebergantungan kepada stesen penyiaran lain untuk melaksanakan tugas ini bukan satu pilihan kepada Kerajaan Sarawak.
“Semasa 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara, berita negeri ini tidak mendapat tempat sewajarnya dalam siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku sebab RTM sebagai entiti Kerajaan Persekutuan yang sepatutnya membantu semua negeri menyalurkan rancangan dan maklumat pembangunan kepada rakyat,” tegasnya.
Katanya lagi, dalam tempoh tersebut, Kerajaan Sarawak mahu tidak mahu menggguna pakai Astro Awani – sebuah stesen penyiaran swasta, sebagai platform untuk menyalurkan maklumat kepada rakyat bumi kenyalang ini.
“Stesen TV baharu dikendalikan SMG, sebuah syarikat berkepentingan dengan Kerajaan Sarawak – sudah semestinya berdepan bukan sahaja saingan daripada stesen televisyen sedia ada tetapi media sosial.
“Dalam menangani saingan, stesen televisyen baharu ini perlu mengimbangi kepentingan menyalurkan maklumat dan menjana pendapatan bagi membiayai kos operasinya serta TV perlu belajar daripada pengalaman stesen penyiaran lain,” katanya.
Ujarnya, seperti kata Ketua Menteri menyediakan menyediakan perkhidmatan penyiaran bebas ke udara, penerbitan dalam talian serta perkhidmatan penyediaan maklumat.



