DUA minggu lagi umat Kristian akan menyambut Hari Krismas.
Adakah anda sudah membuat persiapan yang sepatutnya seperti membeli kuih-muih, selain hiasan pokok Krismas untuk dekorasi rumah?
Bagi yang meraikan perayaan ini, persiapan sedemikian pasti sudah dilakukan sedikit demi sedikit pada Disember.
Namun, ada juga yang membuat persiapan saat-saat akhir kerana pelbagai faktor.
Antaranya kekangan masa akibat bekerja, bajet belum mencukupi, tiada cuti dan sebagainya.
Namun, yang pasti setiap orang ada cara tersendiri dalam meraikan Hari Krismas.
Bagaimanapun, bagi mereka yang tinggal di kawasan tanah rendah dan berisiko menghadapi bencana, adakah anda membuat persiapan menghadapi bencana alam seperti banjir atau tanah runtuh?
Berdasarkan tinjauan cuaca bagi tempoh Disember 2023 hingga Mei 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada 11 November 2023 dan dijangka berterusan sehingga Mac 2024.
Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku.
MetMalaysia juga berkata, semasa fasa awal MTL iaitu pada November 2023 hingga Januari 2024, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak.
Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan kawasan kerap banjir.
Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
Di Sarawak, semua bahagian dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu di antara 250 mm hingga 600 mm.
Selain itu, Sarawak mempunyai jumlah kawasan berisiko banjir paling tinggi iaitu sebanyak 1,066 daripada keseluruhan 5,648 lokasi titik panas banjir yang dikenal pasti di seluruh Malaysia.
Ini didedahkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Bercakap mengenai bencana ini, awal bulan ini tiga kejadian tanah runtuh berlaku di Daerah Bintangor susulan hujan lebat sejak beberapa hari.
Kawasan melibatkan tebingan jalan menghala dari pekan berhampiran Simpang Nanga Wak, Batu 13, Jalan Engkramop Pakan dan Ulu Litok, Pakan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin, kebanyakan kejadian yang dilaporkan berlaku di kawasan pedalaman Pakan yang terletak sekitar 81 kilometer (km) dari bandar Bintangor.
Bagaimanapun, tiada laporan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa akibat kejadian itu.
Sejajar itu, memetik Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) Prof Emeritus Ibrahim Komoo, hujan lebat yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akan menjadikan cerun tepu air, lembap dan lemah.
Setiap cerun berisiko mengalami pergerakan tanah dan kejadian lazimnya tercetus selepas hujan turun berterusan.
Pakar Geologi dan Geosains Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah pula menyatakan, kejadian tanah runtuh boleh berlaku apabila hujan berpanjangan turun di satu-satu kawasan.
Maka, orang ramai hendaklah mengelakkan diri dan tidak berada di kawasan bercerun apabila terjadinya rekahan jalan yang menunjukkan tanda awal berlaku pergerakan tanah.
Selain rekahan jalan, selalunya ada tanda-tanda seperti pokok di sekitar kawasan cerun mula condong.
Ini tanda awal pergerakan tanah yang boleh membawa kepada kejadian tanah runtuh.
Ini antara tanda-tanda yang harus kita peka.
Berdasarkan senario itu, selain banjir, kejadian tanah runtuh juga antara bencana yang patut kita pandang berat pada musim hujan ini.
Kejadian seumpama ini jika berlaku boleh menjejaskan persiapan Hari Krismas khususnya bagi mereka yang hendak pulang ke kampung.
Ini kerana membaiki jalan raya yang rosak akibat tanah runtuh memakan masa terutamanya jika jalan tersebut di kawasan pedalaman.
Justeru kita mesti lebih peka dengan semua maklumat berkaitan cuaca daripada agensiagensi berkaitan.
Kepekaan terhadap keadaan cuaca dan informasi daripada agensi berkaitan amat penting, bagi membolehkan anda merancang aktiviti harian serta bagi mengelak daripada kejadian tidak diingini.
Kesimpulannya jika anda tinggal di kawasan berisiko sedemikian, pastikan anda mengambil langkah berjaga-jaga.
Seperti kata peribahasa malang tidak berbau.
Dalam kita teruja untuk membuat persiapan Krismas dan balik kampung, keselamatan diri juga harus dititikberatkan.



