ARTIKEL

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman menyampaikan ucapan pada Huawei Malaysia ICT Academy Summit 2023 di sebuah hotel, pada Jumaat. Foto: Bernama.

UTM bakal punyai fakulti AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) yang dicadangkan penubuhannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan merintis pertumbuhan kecerdasan buatan di Malaysia, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Azlinda Azman.

Beliau berkata, fakulti itu yang akan ditubuhkan menerusi peruntukan RM20 juta daripada Belanjawan 2024 akan menjadi pusat perkongsian kepakaran dan pengetahuan oleh semua universiti awam dan swasta di dalam negara.

Azlinda berkata, ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mencepatkan pertumbuhan AI sejajar dengan pergerakan digital sejagat.

“UTM akan bekerjasama dengan kedua-dua universiti awam dan swasta dan sesiapa (pemain industri) yang mempunyai kepakaran dalam AI akan bersama-sama untuk berkembang bagi memenuhi keperluan negara.

Kami mahu seseorang untuk menerajui dan kami lihat UTM ada kemampuan untuk menubuhkan sebuah Fakulti AI dalam masa sangat pantas,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Sidang Kemuncak Akademi ICT Huawei Malaysia, di sini pada Jumaat.

Menurut Azlinda Fakulti AI itu merupakan satu daripada kaedah dan pendekatan kementerian untuk berhubung dan bekerjasama dengan pemain industri selain universiti awam dan swasta untuk mengukuhkan lagi kedudukan sektor pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata, semua universiti seharusnya berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik mereka sesama sendiri untuk meningkatkan kualiti sektor pendidikan.

“Contohnya macam AI tu tadi kedua-dua universiti swasta dan awam adalah penting kepada kementerian dan saya fikir universiti-universiti kena belajar daripada satu sama lain kerana masing-masing mempunyai kekuatan berbeza,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas mengenai sidang kemuncak hari ini, Azlinda berkata, Huawei menjalankan tugas dengan amat baik dalam membantu pendidik untuk belajar dengan lebih lanjut lagi mengenai Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

“Jika pendidik kami mempunyai peralatan berkaitan selari dengan kemajuan teknologi maka mereka boleh mendedahkannya kepada pelajar, generasi muda dan itulah apa yang kami mahu, jika tidak kita akan kerugian dalam konteks perubahan teknologi untuk negara,” katanya.- BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

GPS Amalkan Politik Penawar, Utamakan Kesejahteraan Rakyat

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus membuktikan komitmennya dengan pembangunan menyeluruh dan kesejahteraan rakyat menerusi Belanjawan Sarawak 2027, sekali gus mencerminkan pendekatan pentadbiran yang