SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan UTS Street Café di kampus Universiti Teknologi Sibu (UTS) semalam.
Dibuka hari ini (18 Disember), kafe yang menawarkan pelbagai pilihan makanan itu dibuka kepada orang ramai setiap hari, dari Isnin hingga Ahad bermula jam 7.30 pagi hingga 10 malam.
Cawangan yang dimiliki dan dikendalikan oleh The Coffee Code itu diasaskan pada 2014 di Sibu dan kini berkembang ke peringkat antarabangsa dengan pembukaan cawangan di Singapura tahun ini.
Menurut Pengasas UTS Street Café, Eijing Lau pembukaan cawangan di UTS ini adalah hasil perbincangan dengan pengurusan bersama-sama pihak UTS.
Katanya kafe itu diasaskan bertujuan memberikan pengalaman menjamu selera yang lebih memuaskan kepada komuniti universiti.
“Dalam tempoh tiga bulan, pasukan kami menyumbangkan cadangan perniagaan, yang kami bentangkan kepada pihak pengurusan pada Jun lalu.
“Kami berterima kasih atas maklum balas segera daripada pihak pengurusan.
Selepas beberapa mesyuarat dan perbincangan, hari ini kita melancarkan kafe itu secara rasmi,” katanya.
Katanya di kafe ini, mereka menawarkan makanan dan minuman berkualiti yang diharapkan dapat meningkatkan semangat pelajar, pensyarah dan kakitangan UTS.
“Kita menawarkan pelbagai makanan dan minuman, dari makanan tempatan seperti nasi lemak dan nasi campur sehingga hidangan antarabangsa seperti pizza, kari Jepun, pencuci mulut Taiwan dan tentu saja pastri, kek serta minuman kopi oleh The Coffee Code,” katanya.
Pada majlis itu Abang Johari yang juga Pro-Canselor UTS turut meluangkan masa melihat bagaimana kopi ‘dibancuh’ di kafe berkenaan yang menyajikan pelbagai variasi kopi termasuk Americano, Latte dan Espresso.
Turut mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi Lembaga Gabenor universiti, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Naib Canselor UTS Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid.


