KUCHING: Orang ramai di sekitar bandar raya Kuching dijemput untuk menyertai program vaksinasi antirabies anjing peliharaan secara percuma, pada 12 April ini.
Program besar-besaran anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) itu bakal berlangsung dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang, di Dewan Masyarakat MBKS, Jalan Padungan, Kuching.
Menurut MBKS dalam kenyataan, ia juga merangkumi perkhidmatan percuma lain seperti permohonan lesen, pemasangan mikrocip dan pemberian subsidi kembiri.
“Subsidi kembiri ditawarkan sebanyak RM150 untuk anjing betina, namun ia terhad kepada 100 ekor sahaja.
“Dalam masa yang sama sudah mempunyai lesen anjing MBKS dan divaksinasi,” menurut kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, MBKS menyeru orang ramai yang berminat untuk tidak melepaskan peluang dengan hadir ke program tersebut pada masa dan tarikh ditetapkan.
“Jangan lupa untuk membawa kad pengenalan dan kad vaksinasi haiwan peliharaan jika ada.
“Anda harus memastikan haiwan peliharaan sihat, berusia lebih dari tiga bulan, tidak hamil dan sesuai untuk vaksinasi,” tegas kenyataan itu.


