KUALA LUMPUR: Pada awal 1990-an, industri penternakan ayam negara berdepan krisis susulan peningkatan kes kematian ternakan secara tiba-tiba, sekali gus mengancam kestabilan pasaran dan keterjaminan makanan. Industri itu bukan lagi sekadar subsektor pertanian, malah antara tunjang utama bekalan protein negara.
Krisis berkenaan berpunca daripada penyakit bursa berjangkit (IBD) atau gumboro, yang pertama kali dilaporkan di Delaware, Amerika Syarikat pada 1957 sebelum merebak ke Eropah pada 1980-an.
Penyakit ini menjangkiti ayam muda berusia tiga hingga enam minggu dengan kadar jangkitan yang sangat tinggi serta kadar kematian hampir 100 peratus, sekali gus berisiko melumpuhkan keseluruhan rantaian pengeluaran ayam sesebuah negara.
Ayam yang terselamat pula berisiko mengalami kerosakan kekal pada sistem imun, menjadikan ternakan lemah dan tidak responsif terhadap vaksin lain, selain terdedah kepada penyakit sekunder yang meningkatkan kos penternak.
Insiden IBD yang pertama kali dikesan di Malaysia pada 1991 membawa kepada kelahiran seorang pakar patologi veterinar tempatan. Prof Datuk Dr Mohd Hair Bejo, yang ketika itu baru menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang patologi veterinar di University of Liverpool, United Kingdom, menjadi penyelidik pertama mengesan dan melaporkan kes IBD di negara ini.
Bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM) sehingga kini, beliau ditugaskan mengendalikan penularan penyakit IBD, yang seterusnya membawa kepada penyelidikan dan pembangunan vaksin tempatan bagi menangani gumboro secara sistematik.
Menurut beliau, pada 1993, pasukannya berjaya mengasingkan strain virus IBD daripada sampel ladang ayam UPM, dikenali sebagai isolat UPM93. Namun, kejayaan itu hanyalah asas kepada pembangunan vaksin apabila usaha berterusan selama hampir 13 tahun akhirnya menghasilkan vaksin MyVac IBD V877 yang berjaya dikomersialkan pada 2005.
Kejayaan tersebut menjadi asas kepada penghasilan vaksin kedua, MyHatch UPM93, yang dibangunkan bermula 2009 dan dipasarkan pada 2015. Kedua-dua vaksin itu menggunakan virus hidup yang dilemahkan serta strain tempatan, menjadikannya lebih berkesan dan tepat sasaran.
Dari segi penggunaan, MyVac digunakan di ladang kecil dan sederhana melalui air minuman, manakala MyHatch diberikan melalui suntikan automatik di pusat penetasan untuk ladang berskala besar. Antibodi akan terbentuk dalam tempoh lima hingga tujuh hari, iaitu fasa kritikal apabila anak ayam paling terdedah kepada jangkitan penyakit.
Kedua-dua vaksin itu juga sedang dalam proses pemasaran di luar negara dan berada pada peringkat pendaftaran dengan pihak berkuasa berkaitan.
Pembangunan vaksin tempatan ini turut menyokong usaha mengurangkan penggunaan antibiotik, sekali gus membantu membendung isu kebolehrintangan antibiotik serta menyokong pendekatan kesihatan awam bersepadu.
Bagi memastikan pengeluaran berkualiti, UPM bekerjasama dengan rakan industri, Malaysian Vaccines and Pharmaceuticals Sdn Bhd (MVP), yang menghasilkan vaksin di fasiliti bertaraf Good Manufacturing Practice (GMP). Kapasiti pengeluaran semasa mencecah sekitar 100 juta dos setahun.
Kerjasama ini turut disokong Jabatan Perkhidmatan Veterinar melalui Institut Penyelidikan Veterinar, yang berperanan menyediakan garis panduan, kemudahan ujian keselamatan serta sokongan teknikal.
Usaha bersepadu antara universiti, industri dan agensi kerajaan ini memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap ancaman penyakit ternakan, sekali gus membantu menjamin keselamatan makanan dan kestabilan industri ayam negara.— BERNAMA



