Vaksin terbaik putuskan Covid-19

TANGGAL 1 Julai 2020 merupakan tarikh penting bagi semua rakyat Malaysia, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini pada 18 Mac 2020.

Hal ini kerana bermula semalam, banyak sektor perniagaan dan aktiviti sosial yang sebelum ini masih ditangguhkan akibat pendemik Covid-19, telah dibuka dan dibenarkan beroperasi semula. Antara aktiviti sosial penting yang dibenarkan ialah majlis perkahwinan dan pertunangan yang tertangguh sejak tiga bulan lepas.

Walaupun kerajaan membenarkan perkahwinan secara dalam talian bagi pasangan beragama Islam, namun ramai yang memilih untuk meraikan hari bahagia mereka bersama keluarga, saudara mara dan rakan taulan. Pun begitu, kebenaran ini sudah tentu tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP Pemulihan yang hanya membenarkan tempoh majlis sekitar tiga hingga lima jam sahaja.

Selain itu, jemputan pula bergantung kepada saiz ruang dewan atau tidak melebihi 250 orang. Selain majlis perkahwinan dan pertunangan, kebenaran ini turut mencakupi majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi serta majlis perjumpaan semula.

Kita berharap kebenaran ini tidak disalahgunakan oleh tuan rumah, mahupun tetamu yang hadir, supaya majlis yang bermula dengan kegembiraan tidak berakhir dengan penyesalan. Di samping itu, kebenaran ini pastinya memberi khabar gembira kepada mereka yang terlibat sebagai bidang perunding perkahwinan, pengusaha butik pengantin, pengusaha katering, pramusaji dan sebagainya.

Sepanjang PKP, mereka antara yang terkesan akibat penangguhan majlis kenduri kahwin, yang menjadi sumber pendapatan utama perniagaan mereka. Selain itu, semua aktiviti riadah seperti kolam renang dan pelancongan air, turut dibenarkan beroperasi seperti biasa semalam.

Bagaimanapun, aktiviti ini terhad di kolam renang awam di hotel, kondominium, komuniti berpagar, kawasan terkawal atau persendirian. Bagi tujuan kawalan serta pematuhan kepada SOP yang telah ditetapkan, setiap kolam renang perlu dikawal selia oleh pengawal keselamatan dan penyelia.

Tindakan ini wajar bagi memastikan pengguna kolam renang mematuhi SOP dan mengawal jumlah pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan. Pun begitu, mampukah kita memastikan setiap orang yang berada di dalam kolam renang bebas daripada Covid-19.

Hal ini kerana terdapat beberapa kes jangkitan Covid-19, yang tidak menunjukkan sebarang gejala. Biarpun jumlahnya kecil, namun kes-kes jangkitan sebegini mampu menyebabkan lebih banyak jangkitan dan sukar untuk dibendung. Lebih membimbangkan, kajian menunjukkan individu yang tidak bergejala mempunyai beban virus yang sama dengan individu bergejala.

Kawalan kendiri Sehubungan itu, di peringkat awal ini, kawalan kendiri amat penting bagi memastikan aktiviti riadah yang kita lakukan sendirian mahupun bersama ahli keluarga, bebas daripada ancaman Covid19 atau penyakit berjangkit yang lain.

Hal ini disebabkan negara kita masih lagi merekodkan keskes positif Covid-19 pada setiap hari. Selain aktiviti riadah dan sosial, sektor pendidikan yang ditutup akibat Covid-19 turut mula beroperasi semula secara berperingkat pada 24 Jun yang lalu.

Sekarang, semua prasekolah dan Taman Didikan Kanak-kanak atau tadika telah dibuka sepenuhnya. Manakala di peringkat pengajian tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan akhbar bertarikh 27 Mei 2020, memaklumkan bahawa kemasukan pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 bermula.

Kemasukan ini adalah untuk pelajar peringkat sijil dan diploma Politeknik serta Kolej Komuniti dan pelajar baharu di institut pendidikan tinggi swasta (IPTS). Bagi kemasukan pelajar asasi dan diploma di universiti awam (UA), pendaftaran dijangka seawal 1 Ogos. Begitu juga dengan kemasukan pelajar baharu bagi program ijazah sarjana muda dan pascasiswazah mod penyelidikan di UA dan IPTS yang akan bermula seawal 1 Oktober.

Di sisi yang lain, pembukaan semula sektor pendidikan, pasti menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan pentadbir. Hal ini disebabkan jumlah pelajar terlibat agak besar, jika dibandingkan dengan sektorsektor lain. Oleh itu, kebimbangan ibu bapa akan keselamatan anak-anak mereka di sekolah dan IPT sememangnya wajar.

Akan tetapi ibu bapa juga perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak sekolah, guru dan pentadbir dalam mengawal, mencegah dan meminimumkan jangkitan ke atas warga sekolah. Selain aktiviti seperti di atas tadi, terdapat beberapa lagi aktiviti riadah yang melibatkan orang ramai yang beroperasi semula semalam.

Antaranya, menonton wayang di pawagam, menyaksikan persembahan teater dan muzik secara langsung. Biarpun semakin banyak kelonggaran diberikan kepada sektor ekonomi dan aktiviti sosial, namun suasananya pasti jauh berbeza. Kini, kita bukan sahaja perlu hidup dalam kebiasaan baharu, namun wajib melaksanakan tanggungjawab sosial ‘kita jaga kita’ kepada semua rakyat Malaysia.

Oleh itu, teruskan amalanamalan kebiasaan baharu seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dan peka akan penjarakan sosial. Hal ini kerana kewaspadaan dan kebertanggungjawaban kita kepada Malaysia, merupakan ‘vaksin terbaik’ dalam memutuskan rantai Covid-19.

Dilah Tuah ialah ahli akademik di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.