ARTIS yang kini juga merupakan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia dari Fraksi Partai Amanat Nasional (PAN), Verrell Bramasta, menjadi tular di media sosial selepas penampilannya meninjau kawasan banjir di Padang, Sumatera Barat.
Ramai yang mempersoalkan jaket yang dipakainya, menganggap ia jaket anti peluru.
Namun, Verrell pantas menafikan dakwaan tersebut. Menurut kenyataannya, jaket yang dipakai sebenarnya ialah jaket taktikal biasa yang lazim digunakan semasa aktiviti tinjauan atau kerja lapangan. Jaket ini bukan sahaja bergaya, tetapi juga praktikal.
Jaket taktikal yang dipakai Verrell dilengkapi beberapa poket Molle, membolehkan pemakai membawa kelengkapan penting seperti telefon bimbit, ubat dan alat komunikasi. Menurut Verrell, jaket ini membantu beliau bergerak cepat sambil membawa semua kelengkapan yang diperlukan di kawasan bencana.
“Saya perlu bergerak cepat dan dalam masa yang sama harus membawa kelengkapan yang diperlukan.
Di kawasan bencana, terdapat banyak risiko, jadi jaket taktikal membantu saya untuk itu,” jelasnya. Dalam kenyataan yang sama, Verrell menekankan bahawa perhatian masyarakat seharusnya lebih tertumpu kepada kerja-kerja bantuan kepada mangsa banjir, bukannya penampilannya.
“Niat saya hanya ingin membantu masyarakat dan setidaknya mengurangkan sedikit beban serta trauma mereka,” ujarnya.
Verrell dikatakan mengunjungi lokasi yang mengalami banjir lumpur dan tanah runtuh di Padang pada hujung minggu lalu. Kehadirannya bukan sahaja mendapat sorotan media, tetapi juga menunjukkan sisi artis yang aktif dalam kegiatan sosial dan kemanusiaan.






