BINTULU: Sebuah vesel nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di luar zon yang dibenarkan, sekitar 8.15 pagi, semalam (Ahad).
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan OP TIRIS 3.0, OP PERMAI 01/2019 dan OP PELANTAR MERAH 03/2023.
Menurutnya, bot nelayan berwarna biru itu dikesan berada di kedudukan 1.6 batu nautika barat laut Tanjung Payung sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk nakhoda berumur antara 21 tahun hingga 52 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati vesel tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan dalam lesen iaitu kurang dari tujuh batu nautika,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel akan dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.
Vesel berserta kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Muhammad Suffian turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua pengusaha dan nelayan mematuhi undang-undang perikanan yang ditetapkan.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar syarat lesen dan menggugat sumber perikanan negara,” tegas beliau.
Orang awam atau komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta melaporkannya ke talian kecemasan 999, atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432 544.






