SRI AMAN: Selepas sebulan bergelut dengan kerosakan mesin pensterilan, Wad Pediatrik Hospital Sri Aman kini menerima kemudahan baharu hasil keprihatinan Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA).
Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, berkata pihaknya tampil menyumbangkan sebuah premium pensterilan dan pengeringan untuk membantu keperluan pensterilan peralatan di wad berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini petugas terpaksa menggunakan kaedah tradisional dengan merebus peralatan menggunakan periuk selepas mesin pensterilan mengalami kerosakan.

“Bagi kita mungkin ia sekadar sebuah mesin, tetapi di wad ini, kebersihan dan tahap pensterilan bukan perkara kecil.
“Di sinilah ditempatkan bayi yang baru mengenal dunia, termasuk bayi pramatang yang mempunyai daya ketahanan badan yang masih rapuh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sumbangan tersebut diharap dapat membantu petugas menjalankan tugas dengan lebih mudah, selain memastikan peralatan bayi dan penyusuan yang bersesuaian dapat disteril dengan baik.
Gerald berkata, JAKKSA turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat serta seluruh warga Hospital Sri Aman yang terus memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan kekangan kemudahan.
Katanya, usaha kebajikan bukan sekadar memberi sumbangan, sebaliknya turut melibatkan keprihatinan terhadap keperluan sebenar masyarakat.
“Walaupun sumbangan ini sederhana, jika ia dapat membantu petugas dan memberi manfaat kepada ibu serta bayi yang menerima rawatan, itu sudah cukup besar maknanya,” katanya.
JAKKSA turut berharap kemudahan tersebut dapat digunakan untuk tempoh panjang dan memberi manfaat kepada golongan ibu, bayi serta petugas kesihatan di Wad Pediatrik Hospital Sri Aman.
“Kecil sumbangannya, besar manfaatnya,” kata Gerald.



