JUMLAH pemilih berdaftar di Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 pada 12 Disember depan membuka dimensi baharu dalam landskap demokrasi negeri ini.
Daripada 1,252,014 pemilih pada PRU Sarawak Ke-12 (2021), jumlah itu kini meningkat kepada 2,058,781 orang.
Pertambahan 806,767 pemilih dalam tempoh lima tahun, kira-kira 64.4 peratus bukan angka kecil.
la memperlihatkan perubahan besar dalam komposisi pemilih di Sarawak.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,034,373 daripada jumlah itu merupakan pengundi biasa.
Selebihnya 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis, Pasukan Gerakan Am dan pasangan.
Daftar ini ialah daftar terkini setakat Daftar Pemilih Tambahan September 2026, yang dikemas kini sehingga 25 Oktober lalu.
Angka ini perlu dibaca bersama kadar keluar mengundi. Pada PRU Sarawak Ke-12, daripada 1,252,014 pemilih berdaftar, hanya 60.67 peratus yang keluar mengundi, jauh lebih rendah daripada sasaran SPR ketika itu iaitu 70 peratus.
Pemilih yang bertambah ratusan ribu orang tidak bermakna apa-apa sekiranya mereka tidak hadir ke pusat mengundi.
Jadi, cabaran sebenar bagi parti dan SPR adalah untuk memastikan pertambahan daftar pemilih ini diterjemahkan kepada penyertaan yang nyata pada 12 Disember kelak.
Lonjakan ini tidak berlaku secara kebetulan.
la berkait rapat dengan pendaftaran pemilih secara automatik dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, yang berkuat kuasa pada Disember 2021, hanya beberapa hari sebelum PRU Sarawak yang lalu.
Ketika itu, daftar pemilih yang 66 Kehadiran pengundi muda akan membuka ruang perbincangan penting tentang perubahan generasi dalam demokrasi.
digunakan tidak sempat dikemas kini.
Jadi, mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun tidak dapat mengundi. Justeru, PRU Sarawak kali ini menyaksikan pengundi Undi18 akan turun ke pusat mengundi.
Ketua Penerangan Parti PBB, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menganggarkan kira-kira 40 peratus pengundi kali ini terdiri daripada pengundi baharu.
Angka itu hanya anggaran.
Mereka bukan sekadar angka dalam daftar pemilih, tetapi sebahagian masyarakat yang mempunyai pandangan, aspirasi dan keutamaan tersendiri.
Isu peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, perumahan, kemudahan digital, pengangkutan dan masa depan ekonomi negeri pastinya dekat dengan kehidupan mereka.
Mereka juga membesar dalam persekitaran yang terdedah kepada limpahan maklumat melalui media sosial dan teknologi digital.
Persekitaran sebegini memberi kelebihan akses, juga membuka ruang kepada maklumat salah dan hasutan yang boleh mempengaruhi pertimbangan pengundi yang pertama kali menilai tawaran politik.
Namun, penyertaan politik generasi muda tidak wajar dilihat hanya dari sudut bilangan undi.
Mereka perlu diberi ruang untuk memahami proses demokrasi, menilai maklumat secara kritis dan mengambil bahagian dalam perbincangan tentang masa depan negeri.
Parti politik pula perlu menyedari bahawa pengundi hari ini semakin pelbagai dari segi latar belakang, pengalaman dan keutamaan.
Pendekatan lama yang bergantung pada jentera tradisional semata-mata mungkin tidak lagi memadai untuk menarik hati pemilih yang menuntut jawapan konkrit, bukan sekadar janji.
Dari sudut politik, kawasan yang mempunyai ramai pengundi memang bernilai strategik.
Setiap parti berusaha meraih sokongan di sana kerana keputusannya boleh memberi kesan kepada keputusan keseluruhan pilihan raya.
Jumlah pengundi yang besar juga memberikan kekuatan suara kepada masyarakat.
Apabila penduduk sedar akan hak politik dan mampu menyampaikan tuntutan secara tersusun, isu jalan raya, bekalan air, elektrik, pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan dapat diketengahkan dengan lebih berkesan.
Bagaimanapun, pertambahan pengundi tidak dinikmati sama rata oleh semua kawasan DUN.
Kawasan bandar yang mengalami pertumbuhan penduduk pesat berkemungkinan mempunyai bilangan pengundi jauh lebih besar berbanding kawasan luar bandar dan pedalaman.
Perbezaan ini menimbulkan persoalan tentang keseimbangan perwakilan, iaitu sejauh mana nilai satu undi di sesuatu kawasan setara dengan nilai satu undi di kawasan lain.
Dalam konteks Sarawak yang sangat luas, jumlah pengundi bukan satu-satunya ukuran kepentingan sesuatu kawasan.
Kawasan pedalaman yang berpengundi lebih kecil mungkin meliputi wilayah luas dengan penempatan berselerak dan cabaran pembangunan yang lebih kompleks.
Penduduk di sana tetap memerlukan jalan raya yang baik, bekalan air bersih, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan dan jaringan komunikasi.
Keperluan mereka tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah undi semata-mata. Dalam masa yang sama, pertambahan pemilih wajar membuka perbincangan tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya.
SPR memulakan kajian semula persempadanan di Sarawak pada 1 September 2026 dan menerima 133 representasi sehingga awal Oktober lalu.
Namun, pengerusi SPR menyatakan proses itu akan mengambil masa sehingga selepas Februari 2027, bermakna sempadan baharu tidak sempat digunakan pada PRU Sarawak kali ini.
Keseimbangan jumlah pengundi antara kawasan DUN, seiring pertumbuhan penduduk dan perubahan demografi, tetap perlu diberi perhatian sewajarnya.
Persoalannya, adakah jumlah pengundi yang semakin meningkat akan diterjemahkan kepada suara rakyat yang lebih kuat?
Jawapannya bergantung pada tahap kesedaran politik masyarakat dan kemampuan mereka menilai kepimpinan serta tawaran pembangunan yang dikemukakan.
Kepada pengundi muda, tanggungjawab mengundi buat kali pertama membawa makna besar.
Hak itu perlu disertai pemahaman tentang demokrasi, peranan wakil rakyat dan kepentingan menilai maklumat secara rasional.
Begitu juga pengundi lain. Setiap keputusan di peti undi berkait rapat dengan masa depan masyarakat dan negeri.
Akhirnya, pertambahan lebih 806,000 pemilih dalam tempoh lima tahun ialah perkembangan penting dalam demokrasi Sarawak.
Angka itu bukan sekadar statistik pilihan raya, tetapi menggambarkan semakin luasnya penyertaan rakyat dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.
Namun, ukuran sebenar kekuatan demokrasi bukan hanya pada jumlah pengundi yang berdaftar, tetapi sejauh mana suara mereka diterjemahkan kepada dasar dan pembangunan yang adil.
Angka pengundi mungkin menentukan kekuatan di peti undi pada hari mengundi, tetapi keprihatinan terhadap rakyat menentukan nilai sebenar sesebuah kepimpinan.






